Pemuda PKR (AMK) menegaskan bahawa isu pelantikan Ketua Hakim Negara tidak wajar dipolitikkan atau dijadikan alat serangan terhadap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Ketua penerangannya, Danish Hairudin berkata pelantikan mana-mana jawatan tertinggi dalam badan kehakiman adalah proses yang tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, bukan kehendak politik mana-mana pihak.
"Tuduhan kononnya pelantikan atau lanjutan jawatan Ketua Hakim adalah “permainan politik” adalah tidak bertanggungjawab dan bersifat spekulatif.
"Perlu diingatkan, sekiranya perdana menteri tunduk kepada desakan politik daripada Umno atau mana-mana kelompok berkepentingan, Ketua Hakim Negara yang kini memegang jawatan, Tengku Maimun Tuan Mat, mungkin sudah lama digantikan, lebih-lebih lagi memandangkan beberapa keputusan penting beliau yang tegas dalam kes-kes berkaitan rasuah dan integriti.
"Namun, perdana menteri mengambil pendirian berprinsip dengan tidak mencampuri urusan badan kehakiman, malah mempertahankan keluhuran institusi tersebut daripada tekanan mana-mana pengaruh politik.
"Ini adalah bukti jelas bahawa pentadbiran Kerajaan Perpaduan menghormati prinsip pengasingan kuasa dan menjunjung kedaulatan undang-undang (rule of law)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tengku Maimun dijangka bersara pada Rabu melainkan tempoh perkhidmatannya dilanjutkan selama enam bulan seperti yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Bagaimanapun, Anwar menolak gesaan supaya tempoh perkhidmatannya dilanjutkan sebagai percubaan untuk mempolitikkan badan kehakiman.
Selain Tengku Maimun, Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim juga akan bersara pada Khamis ini.
Persaraan mereka akan disusuli pada bulan-bulan berikutnya oleh Hasnah, Hakim Besar Sabah dan Sarawak Abdul Rahman Sebili, dan hakim Mahkamah Persekutuan Nallini Pathmanathan, Zabariah Mohd Yusof, dan Hanipah Farikullah.
Rahman, Zabariah, dan Hanipah telah pun dilanjutkan tempoh mereka selama enam bulan.
Mengulas lanjut, Danish berkata semua keputusan berkaitan pelantikan kehakiman melalui Majlis Raja-Raja dan atas nasihat Ketua Hakim serta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), bukan semata-mata keputusan perdana menteri.
Dia menyeru semua pihak, termasuk pembangkang dan penyokong kerajaan, agar tidak menjadikan institusi kehakiman sebagai modal politik.
