Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai Hajiji lapor polis terhadap ahli perniagaan

Seorang pegawai khas kepada Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, membuat laporan polis semalam terhadap ahli perniagaan kontroversi Albert Tei, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah dan berniat jahat terhadap ketua menteri itu.

Laporan tersebut dibuat Mazlan @ Joehari Manan susulan kenyataan Tei dalam satu sidang media selepas dia didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu atas pertuduhan memberi rasuah kepada dua Adun.

Menurut Mazlan, Tei secara terbuka mempersoalkan mengapa Hajiji tidak didakwa bersama dua Adun terbabit, serta mengaitkan ketua menteri dengan dakwaan campur tangan dalam siasatan dan pendakwaan, selain mendakwa wujud ancaman terhadap keselamatan dirinya.

“Kenyataan itu memberi maksud ketua menteri Sabah telah melakukan kesalahan di sisi undang-undang dan sepatutnya dituduh di mahkamah dan campur tangan dalam proses pendakwaan Jabatan Peguam Negara (AGC) serta proses mahkamah.

“Selain itu mendakwa ketua menteri campur tangan dalam siasatan SPRM dan terlibat dalam rancangan menculik serta membunuh Tei,” katanya dalam laporan dibuat di Balai Polis Tanjung Aru," katanya dalam laporan yang dibuat di Balai Polis Tanjung Aru.

Tei, yang didakwa bersama dua Adun Sabah atas tuduhan rasuah berkaitan lesen cari gali mineral, mengadakan sidang media pada 30 Jun lalu di luar bangunan Mahkamah Kota Kinabalu sejurus selepas membayar ikat jamin.

Kenyataannya yang disiarkan secara langsung oleh beberapa media mempersoalkan mengapa hanya tiga individu didakwa, sambil memberi bayangan bahawa tokoh politik kanan lain — termasuk Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor — dilindungi daripada pendakwaan.

Dia turut meminta pihak berkuasa mencari 10 individu yang telah didedahkannya sekiranya sesuatu yang buruk berlaku ke atas dirinya.

Mazlan menyifatkan tuduhan yang dibuat sebagai tidak berasas dan satu pelanggaran terhadap prosiding undang-undang yang masih berjalan.

Dia juga menggesa pihak polis mengambil tindakan sewajarnya mengikut undang-undang di bawah kesalahan fitnah, Akta Hasutan, serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Tei, seorang ahli perniagaan dari Selangor, berdepan dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM350,000 kepada dua Adun Sabah — Yusof Yacob (Sindumin) dan Andi Muhammad Suryady Bandy (Tanjung Batu).

Kedua-dua Adun itu juga didakwa atas pertuduhan menerima rasuah tersebut. Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS