Paling Popular
Terkini

ULASAN | Di negara ini, tidak sukar untuk mencetuskan kontroversi. Kadangkala, hanya dengan satu ucapan, satu video, atau satu hantaran di media sosial yang menyentuh isu kaum, agama atau institusi diraja, ia sudah cukup untuk menghangatkan suasana dan menimbulkan kegusaran awam.

Isu-isu ini sememangnya sensitif. Ia berkait rapat dengan identiti negara dan identiti rakyat. Namun sayangnya, isu-isu ini sering dimanipulasi oleh segelintir pihak yang mahu meraih keuntungan politik, khususnya apabila kedudukan mereka semakin terpinggir.

Apa yang lebih membimbangkan, taktik ini datang berulang kali daripada barisan pembangkang yang sudah ketandusan idea. Apabila sokongan mula merosot, mereka akan kembali memainkan naratif lama, kononnya nasib orang Melayu sedang terancam, kedudukan Islam sedang ditekan, dan hak-hak istimewa Raja mula dipersoal.

Namun rakyat bukan lagi seperti dahulu. Semakin ramai melihat ini bukan lagi tentang perjuangan mempertahankan prinsip, tetapi satu bentuk manipulasi politik untuk menutup kegagalan sendiri.

Realitinya, orang Melayu tidak disisih. Islam dihormati dan terus terjamin dalam Perlembagaan. Apa yang sebenarnya terancam ialah kelangsungan politik mereka yang enggan bergerak ke hadapan dan terus bergantung pada retorik lama yang memecah-belahkan rakyat.

Sepatutnya, pemimpin politik memberi tumpuan kepada isu sebenar yang dihadapi rakyat seperti kenaikan kos sara hidup, cabaran pendidikan, peluang pekerjaan, dan kestabilan ekonomi. Tetapi apa yang berlaku ialah emosi rakyat dibakar, sentimen kaum dan agama diganggu-gugat semata-mata untuk berkuasa.

Ini bukannya tidak sengaja. Ini strategi. Apabila rakyat diasak dengan rasa takut, mereka menjadi lebih mudah dipengaruhi. Namun kesan daripada pendekatan ini amat besar. Ia meretakkan hubungan antara kaum, melemahkan perpaduan dan menghalang kemajuan negara.

Hukuman rakyat di peti undi

Rakyat kini lebih bijak. Ramai orang Melayu sendiri mula tertanya-tanya, mengapa nama mereka sering dijadikan perisai politik, sedangkan nasib sebenar mereka masih tidak terbela. Kaum lain pula semakin penat kerana sering digambarkan sebagai ancaman, walhal mereka juga memainkan peranan penting dalam membangunkan negara.

Di sinilah pentingnya tanggungjawab politik. Kebebasan bersuara bukan lesen untuk menghasut. Dalam negara majmuk seperti Malaysia, kebijaksanaan dalam bertutur amat diperlukan. Kata-kata yang sembrono bukan tanda berani, tetapi bukti kegagalan memimpin dengan matang.

Mereka yang terus menyalahgunakan isu kaum dan agama untuk mencetuskan perpecahan wajar dikenakan tindakan. Bukan sahaja melalui tindakan perundangan, tetapi juga dihukum oleh rakyat melalui undi. Sudah tiba masanya rakyat menolak politik yang menjadikan kebencian sebagai modal.

Kita juga perlu bercakap secara jujur tentang kesan terhadap bukan Melayu. Dalam banyak keadaan, suara mereka dianggap tidak penting, dan diam mereka ditafsirkan sebagai setuju. Mereka tidak menuntut keistimewaan, tetapi mahukan keadilan, serta pengiktirafan sebagai rakyat Malaysia yang sah dan setia.

Negara kita tidak kekurangan tokoh yang baik dan berwibawa. Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang jujur, berani, dan tidak bergantung kepada retorik perpecahan.

3R — kaum, agama dan raja — adalah teras kepada kestabilan negara. Ia mesti dihormati. Tetapi ia bukan alat untuk mengejar kuasa. Jika terus disalah guna, bukan sahaja reputasi pemimpin tercalar, bahkan kestabilan negara turut terjejas.

Cukup-cukuplah.


MAHATHIR MOHD RAIS ialah bekas setiausaha Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS