Paling Popular
Terkini

Napoleon Bonaparte bukan hanya seorang jeneral atau Maharaja Perancis yang unggul, malah beliau adalah pengasas kepada pendekatan komunikasi kuasa yang masih diamalkan hingga hari ini.

Melalui teknik propaganda yang sistematik dan terancang, beliau berjaya membina imej, mengawal naratif awam dan menundukkan musuh bukan sahaja di medan perang, tetapi dalam minda rakyat.

Artikel ini mengupas kemahiran Napoleon dalam seni propaganda berdasarkan karya 99 Rukun Propaganda Napoleon oleh penulis dan disertai analisis sejarah, latar belakang, aplikasi propaganda, pidato popular serta catatan pengalaman penulis sendiri di Paris.

Propaganda merupakan alat strategik yang telah digunakan sejak zaman purba dalam memperkukuh kekuasaan dan pengaruh. Dalam konteks moden, propaganda tidak lagi terhad kepada alat peperangan atau politik semata-mata tetapi ia telah berkembang ke dalam dunia perniagaan, media dan pengurusan awam. Napoleon merupakan antara tokoh sejarah yang menggunakan propaganda secara sistematik dan berkesan.

Napoleon tidak hanya memimpin menggunakan kekuatan tentera, tetapi juga melalui penguasaan minda rakyat dan musuh. Ini dibuktikan melalui pembentukan sistem komunikasi yang rapi, penapisan maklumat terancang dan penghasilan naratif yang menyeluruh demi mempertahankan legitimasi kuasa beliau.

Dalam hal ini, 99 Rukun Propaganda Napoleon memberi kita akses unik untuk memahami pemikiran dan pendekatan beliau dalam seni pengaruh.

Saya telah merakamkan pengalaman peribadinya semasa kembara ‘backpacker’ ke Perancis pada 2018. Kembara yang dinamakan “Mencari Napoleon” ini tidak hanya berteraskan minat sejarah, tetapi juga dedikasi terhadap seni propaganda dan retorik yang menjadi tumpuan pengajiannya.

Antara pengalaman paling mengesankan ialah lawatan ke makam Napoleon yang terletak di bawah kubah megah Dôme des Invalides, Paris. Sarkofagus besar yang dihiasi marmar dan ukiran seni menjadi simbol penghormatan Perancis terhadap tokoh tersebut.

Napoleon tidak dilihat semata-mata sebagai jeneral atau tokoh revolusi sebaliknya sebagai pengkaji propaganda yang mampu mengawal maklumat dan membina imej secara menyeluruh.

Dilahirkan pada 15 Ogos 1769 di Pulau Corsica, Napoleon muncul sebagai wira Revolusi Perancis ketika negara itu berada dalam kekacauan politik.

Kehebatannya dalam strategi ketenteraan menyebabkan beliau dilantik sebagai jeneral pada usia muda dan kemudian menjadi Konsul Pertama sebelum diangkat sebagai Maharaja Perancis pada 1804.

Namun demi mempertahankan kuasa dalam suasana politik yang bergolak, Napoleon menggunakan propaganda sebagai instrumen sokongan kepada strategi ketenteraan dan pentadbiran.

Napoleon menerbitkan Bulletins de la Grande Armée, laporan-laporan rasmi yang bukan sekadar menceritakan kejayaan tentera malah membentuk citra diri sebagai pemimpin agung.

Buletin yang diterbit dalam akhbar rasmi Le Moniters Universel itu telah disalin dan diedarkan ke seluruh gereja, dewan bandaran dan media antarabangsa.

Walaupun ada kalanya ia dijadikan bahan jenaka (“Dusta seperti Bulletins”) dalam kalangan warga Paris tetapi impaknya kekal kuat dalam membentuk psikologi rakyat dan tentera.

Beliau secara sistematik menutup media yang tidak sehaluan dengannya. Dalam masa enam tahun, daripada 73 akhbar yang wujud di Paris, hanya tinggal empat. Bahkan untuk mengurangkan kontroversi agama, beliau mewujudkan Journal des Cares bagi menggantikan semua akhbar yang beliau telah sekat.

Selain akhbar, beliau turut menapis persembahan teater, buku dan kesusasteraan yang bercanggah dengan ideologi pemerintahannya.

Napoleon menggunakan arca, lukisan, dan perayaan awam untuk menggambarkan dirinya sebagai pemimpin terunggul.

Pertabalan dirinya sebagai Maharaja tanpa campur tangan pihak gereja merupakan simbol kekuasaan kendiri yang menyampaikan mesej politik kepada dunia.

Dipercayai beberapa ungkapan Napoleon menggambarkan strategi Napoleon dalam mengawal persepsi dan realiti:

“Sejarah adalah satu set pembohongan yang dipersetujui bersama.” – Menunjukkan sejarah boleh dimanipulasi oleh yang berkuasa.

“Empat akhbar yang menentang pemerintah lebih ditakuti daripada seribu bayonet.” – Kuasa intelektual mengatasi kekuatan fizikal.

“Kemenangan bukan tentang berapa ramai tentera yang mati tetapi siapa yang menyerah dahulu.” – Menekankan kepentingan moral dalam peperangan.

“Pemimpin adalah pemberi harapan kepada mereka yang mendambakannya.” – Harapan adalah senjata terkuat dalam kepimpinan.

Napoleon juga dikenali kerana kebolehan retoriknya yang luar biasa. Beliau sering menjiwai tenteranya melalui ucapan, menjadikan mereka bukan sekadar alat perang tetapi pejuang berjiwa.

Pidato Napoleon pada 20 April 1814, ketika berundur dari kuasa tetap menjadi antara ucapan paling mengesankan dalam sejarah sebelum beliau dibawa pergi dan dibuang ke Pulau Elba;

“Tentera-tenteraku yang setia, saya ucapkan selamat tinggal kepada kamu semua. Selama 20 tahun kalian sentiasa menemani saya di jalan menuju kehormatan dan kemuliaan. Pada saat-saat terakhir ini... saya telah mengorbankan semua kepentingan kita demi kepentingan negara; saya akan pergi. Tetapi kalian, sahabat-sahabatku, teruskanlah berkhidmat untuk Perancis...”

Ucapan ini bukan sahaja menunjukkan emosi seorang pemimpin yang tewas tetapi juga strategi terakhir untuk menanam kesetiaan dan nostalgia dalam kalangan penyokong.

Dalam era media sosial, propaganda telah beralih ke platform digital namun prinsip asasnya tetap sama.

Hari ini, pemimpin menggunakan Twitter, TikTok dan Facebook untuk menanam naratif, membina pengaruh, dan memadam kenyataan yang tidak dipersetujui, sama seperti Napoleon menggunakan akhbar dan buletin.

Napoleon pernah dikaitkan dengan ungkapan seperti “Kejayaan adalah jurucakap paling meyakinkan di dunia” dan “Mustahil hanya wujud dalam kamus orang bodoh” menjadi sebahagian dari falsafah perhubungan awam, kempen politik dan strategi kepimpinan masa kini.

Napoleon Bonaparte membuktikan bahawa kemenangan bukan hanya ditentukan oleh pedang tetapi oleh kuasa fikiran dan pengaruh. Dengan memahami dan mengaplikasikan 99 Rukun Propaganda Napoleon, seseorang pemimpin dapat mempelajari seni mengawal naratif, membina imej dan mengekalkan kuasa dengan berkesan.

Dua sumbangan besar Napoleon kepada perkembangan propaganda ialah mengawal dan penapis pendapat awam. Beliau juga menggunakan jentera kerajaan dan tentera secara sistematik ke arah kegiatan propaganda yang mengagungkan dirinya.

Napoleon antara pemimpin yang menumpukan perhatian mendalam terhadap membingkai pendapat awam dan membina imej yang dikehendaki.

Catatan penulis tentang kembara mencari Napoleon di Paris membawa kita kepada kesedaran bahawa warisan tokoh ini bukan sekadar sejarah. Ia adalah panduan masa depan dalam dunia kepimpinan, komunikasi dan strategi.

Apa jua penilaian orang, bagi saya dia tetap Tokoh Propaganda Dunia yang hebat.


BUDIMAN MOHD ZOHDI ialah penasihat SLR Institute. Dia bergiat aktif dalam penyelidikan propaganda dan penjenamaan politik. Budiman juga bekas ahli parlimen Sungai Besar.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS