Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Letupan Putra Heights: PAS sifatkan laporan akhir tak menyeluruh, gesa RCI
Diterbitkan:  Jul 2, 2025 10:08 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

PAS Selangor mengecam laporan akhir pihak berkuasa mengenai letupan saluran paip gas Putra Heights, dengan berkata ia tidak menyeluruh dan banyak bergantung kepada jawatankuasa siasatan dalaman.

Dalam satu kenyataan, ketuanya Ab Halim Tamuri berkata laporan itu - yang menyalahkan kejadian 1 April itu ke atas tanah keadaan tanah yang lemah yang menyebabkan paip mengalami pergerakan berulang - telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

"PAS Selangor merasa kecewa dengan dapatan laporan yang dilihat kurang holistik, hanya memberi tumpuan kepada punca langsung (direct cause) dan tidak memberi penumpuan kepada isu-isu 'root cause' punca sebenar dan paling asas

"Dapatan sedemikian telah menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan dan menimbulkan keresahan dan ketidakpuasan hati yang jelas terserlah daripada keluhan dan kritikan rakyat sejurus laporan tersebut diumumkan.

"⁠PAS Selangor menuntut Kerajaan Negeri Selangor untuk bersikap telus sepenuhnya dan tidak hanya bergantung kepada jawatankuasa penyiasat dalaman sahaja," katanya.

Ab Halim juga mencadangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang bebas untuk menjalankan siasatan yang lebih teliti terhadap insiden itu.

Sementara itu, Adun Kota Kemuning S Preakas turut mempersoalkan kesimpulan siasatan.

Dalam satu kenyataan, wakil rakyat DAP itu berkata dia tidak boleh menerima kesimpulan bahawa tiada pihak yang didapati bertanggungjawab terhadap insiden itu.

"Penemuan itu nampaknya memberi penekanan yang tidak wajar sama ada berlaku sebarang salah laku, sementara gagal menangani sama ada tindakan yang betul telah diambil - atau yang lebih penting, sama ada tindakan yang perlu diambil telah diabaikan.

"Dalam apa jua situasi mengenai keselamatan, kegagalan untuk bertindak boleh sama berbahaya dengan bertindak secara tidak wajar," katanya.

Preakas berkata penjelasan yang diberikan pihak berkuasa nampaknya menutup perkara itu tanpa menjawab beberapa soalan mendesak.

Ini termasuk soalan tentang apa yang menyebabkan pergerakan tanah dan genangan air, bila keadaan bermula, dan siapa yang bertanggungjawab atas kegagalan memantau pergerakan tanah.

Dia juga membangkitkan isu kegagalan pihak berkuasa untuk memberikan pertimbangan lebih serius kepada aduan penduduk dan bukti bergambar mengenai kehadiran jentera berat dan bahan binaan berhampiran tempat kejadian.

“Selain itu, saya amat bimbang bahawa saluran paip gas nampaknya telah diaktifkan semula tanpa sebarang taklimat keselamatan rasmi atau sesi penglibatan dengan penduduk.

"Sehingga hari ini, masyarakat masih belum diberikan garis masa yang jelas, pelan keselamatan, atau butiran mengenai langkah pengurangan risiko. Ramai penduduk terus hidup dalam ketakutan, tidak pasti tentang keselamatan rumah mereka dan sama ada kebimbangan mereka benar-benar didengari," katanya.

Pada 1 April, kebakaran besar yang melibatkan saluran gas Petronas menyaksikan api menjulang lebih 30m ke udara, dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius, mengubah landskap sekitar menjadi kawah besar.

Api berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas hampir lapan jam.

Kira-kira 146 mangsa dibawa ke hospital dan klinik untuk rawatan, manakala Bernama melaporkan 219 rumah mengalami kerosakan.

Susulan itu, pihak berkuasa termasuk polis dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) telah melancarkan siasatan untuk menentukan punca letupan.

Semasa sidang media yang diadakan di Shah Alam pada Isnin, Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP Husdin Che Amat mengumumkan paip terbabit tidak disokong sepenuhnya oleh tanah di sekelilingnya akibat beban berulang menyebabkan kelemahan pada sambungan kimpalan yang pecah dan mencetuskan kebakaran.

Pada sidang media yang sama, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan mengesahkan tiada unsur sabotaj atau kecuaian ditemui dan berkata mereka mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS