Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Joachim Gunsalam membidas pihak yang melemparkan tuduhan rasuah terhadapnya, menyifatkan ia sebagai sangat tidak bertanggungjawab.
Dia berikrar akan terus komited dalam menjalankan tugasnya dalam kerajaan negeri.
“Saya dengan tegas menafikan dakwaan yang membabitkan saya dalam skandal rasuah yang dikatakan melibatkan lesen cari gali mineral Sabah seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini.
“Saya tidak akan terganggu dengan sebarang cubaan untuk memburukkan saya dan terus komited dengan ikhlas menjalankan tanggungjawab saya sebagai anggota kabinet Sabah dan Adun Kundasang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 28 Jun, satu sumber memberi Malaysiakini nama enam lagi ahli politik yang dikatakan terlibat dalam skandal perlombongan.
Mereka yang terlibat termasuk pemimpin tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan PBS, kedua-duanya merupakan komponen utama kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Antaranya ialah Presiden Star Jeffrey Kitingan dan dua timbalannya, Ellron Alfred Angin dan Robert Tawik; Gunsalam, pendahulunya bekas presiden PBS Maximus Ongkili, dan timbalan presiden Jahid Jahim.
Sumber itu memberikan Malaysiakini tangkapan skrin yang didakwa diambil daripada rakaman video yang melibatkan pemimpin terbabit.
Malaysiakini juga ditunjukkan petikan ringkas rakaman itu tetapi tidak dibenarkan untuk menyiarkannya semula.
Gunsalam menggesa ahli dan penyokong PBS supaya bertenang dan fokus di tengah-tengah dakwaan itu dan terus bekerja keras untuk rakyat.
“Kita perlu terus mendengar, mencari apa yang boleh diperbaiki, dan melakukan yang terbaik untuk membawa pembangunan ke negeri tercinta.
"Yakinlah, saya akan menghadapi situasi ini dengan hati dan nurani yang bersih. Saya menghargai sokongan dan kepercayaan rakyat yang berterusan," tambahnya.
Pada 30 Jun lalu, Jahid menafikan dakwaan itu dan menegaskan dia tidak menerima dana berkaitan lesen perlombongan.
Semalam, Kitingan menyalahkan "tangan tersembunyi" yang menurutnya mahu menggugat kestabilan kerajaan negeri sebagai punca dakwaan mengaitkannya dengan skandal rasuah.
Dia mempersoalkan masa pendedahan skandal itu dan motif di sebaliknya sambil menafikan salah laku.
