Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, membuat perbandingan antara Perdana Menteri Thailand, Paetongtarn Shinawatra yang digantung tugas oleh mahkamah negara itu dengan keadaan badan kehakiman Malaysia yang didakwanya “terkongkong” oleh reka bentuk institusi.
Dalam satu hantaran di X hari ini, Zaid merujuk kepada keputusan Mahkamah Perlembagaan Thailand yang menggantung Paetongtarn Shinawatra daripada tugas sementara menunggu pertimbangan kes beliau berhubung perbualan telefonnya dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen, yang bocor.

Menurut Zaid, mahkamah perlembagaan Thailand melaksanakan kuasa sebenar termasuk menyingkirkan perdana menteri dan membatalkan keputusan pilihan raya apabila berlaku pelanggaran perlembagaan, manakala badan kehakiman Malaysia pula dihalang oleh “reka bentuk institusi dan keengganan politik”.
“(Mahkamah Perlembagaan Thailand) telah bertindak – kadangkala secara berlebihan, kadangkala penuh kontroversi – tetapi sentiasa bertaring.
“Mahkamah Persekutuan kita tidak mempunyai kuasa untuk memulakan tindakan terhadap eksekutif melainkan perkara itu dibawa secara rasmi ke hadapannya.
“Dewan Negara pula kebanyakannya bersifat adat istiadat – sebuah dewan yang dipenuhi lantikan politik yang jarang mempersoalkan tindakan eksekutif, apatah lagi mencabarnya,” katanya.

Dia turut mendakwa bahawa agensi seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak menunjukkan iltizam untuk bertindak terhadap individu berprofil tinggi yang disyaki terlibat dalam salah laku.
“Malangnya, kita telah menjadi sebuah negara yang pengurusan persepsi menggantikan pencarian kebenaran, dan putar belit komunikasi awam menggantikan proses kehakiman sebenar. Kita disuruh untuk tidak membuat spekulasi, tidak menyindir, dan tidak mempersoalkan.
“Institusi tidak boleh berfungsi dalam ruang kosong. Ia bertindak balas terhadap tekanan awam, kehendak rakyat, dan suara hati nurani masyarakat. Kini rakyat Malaysia perlu bertanya kepada diri sendiri: sejauh mana kita akan terus bertoleransi terhadap pelanggaran seperti ini?”
Zaid turut memberi amaran bahawa jika rakyat terus berdiam terhadap kemerosotan moral dan institusi oleh para pemimpin, maka hak untuk menuntut kebertanggungjawaban akhirnya akan hilang.
Serah jawatan
Zaid sekali lagi menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya melepaskan jawatannya secara sementara.

Dia menegaskan bahawa langkah Anwar untuk berundur seketika akan membolehkan siasatan yang telus dijalankan terhadap dakwaan salah laku seksual serta campur tangan politik dalam institusi kehakiman dan agensi penguatkuasaan.
Zaid memberi peringatan bahawa kepercayaan awam dan integriti institusi kini menjadi pertaruhan, dan seruannya agar Anwar berundur tidak berasaskan andaian bahawa perdana menteri bersalah, tetapi kerana keperluan untuk menegakkan tanggungjawab etika.
“Dalam sistem demokrasi matang, apabila dakwaan cukup serius sehingga menjejaskan kewibawaan pejabat perdana menteri, tindakan terhormat adalah berundur buat sementara waktu, memberi kerjasama penuh kepada siasatan, dan kembali hanya selepas dibersihkan daripada tuduhan.
“Begitulah cara kredibiliti dipelihara – secara peribadi dan juga institusi.”
Cuti sementara
Sebelum ini, Sekretariat Menyelamatkan Sistem Kehakiman yang diketuai bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad, telah mencadangkan supaya Anwar bercuti sementara sehingga kes saman gangguan seksual oleh bekas pembantunya, Yusoff Rawther, diselesaikan.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan telah mengeluarkan perintah penangguhan interim terhadap semua prosiding berkaitan saman sivil Yusoff, selepas panel tiga hakim membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan kes tersebut sementara menunggu keputusan rayuannya bagi penangguhan penuh.

Pelbagai pihak turut menggesa kerajaan meminda Perlembagaan Persekutuan dan Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 untuk menarik peranan perdana menteri daripada proses pelantikan kehakiman.
Di bawah sistem sedia ada, perdana menteri tidak terikat dengan nasihat ketua hakim negara atau JAC berhubung senarai pendek calon pelantikan kehakiman.
Sebaliknya, perdana menteri memiliki budi bicara mutlak dalam memilih nama yang akan dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Agong.
Lanjutan tempoh perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, turut menimbulkan bantahan susulan dakwaan salah laku terhadap beliau. Namun, Anwar mempertahankan Azam dengan menyifatkannya sebagai individu yang “berani”.
