Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor sepatutnya memfailkan saman sivil terhadap pemberi maklumat, Albert Tei sekiranya ahli perniagaan itu memfitnahnya dan bukannya melibatkan pihak polis, kata peguam Tei, Mahajoth Singh.
"Anak guam saya menegaskan bahawa dia tidak pernah membuat sebarang kenyataan berunsur fitnah.
"Jika Ketua Menteri berpendapat sebaliknya, tindakan yang sewajarnya ialah memulakan saman fitnah melalui mahkamah, bukannya menggunakan tindakan polis sebagai satu bentuk intimidasi," katanya dalam satu kenyataan petang ini.
Mahajoth menyifatkan tindakan membuat laporan polis terhadap anak guamnya sebagai satu pencabulan hak perlembagaan dan penyalahgunaan sumber awam.
"Polis tidak sepatutnya digunakan untuk menyekat ekspresi sah atau kritikan. Tindakan sedemikian bukan sahaja melemahkan keyakinan awam terhadap penguatkuasaan undang-undang, malah menimbulkan persoalan tentang penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang memegang jawatan tinggi.
"Adalah mengecewakan apabila Pejabat Ketua Menteri memilih untuk membuat laporan polis—tindakan yang boleh dilihat sebagai cubaan menggunakan jentera kerajaan untuk menutup mulut pihak yang tidak sehaluan," tambahnya lagi.

Dia turut mempersoalkan sama ada tindakan itu dibuat dengan nasihat guaman yang sewajarnya.
"Anak guam saya tetap teguh mempertahankan haknya di sisi undang-undang. Beliau akan terus menyuarakan kebenaran tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan tidak akan tunduk kepada sebarang cubaan menakut-nakutkan," kata Mahajoth.
Ini bukan kali pertama Tei mencabar Hajiji untuk mengheretnya ke mahkamah. Pada Dis lalu, ahli perniagaan itu pernah menawarkan diri untuk menyerahkan rakaman video dan bukti yang didakwa mengaitkan beberapa Adun di mahkamah.
Laporan polis dibuat semalam oleh Pegawai Khas kepada Hajiji, Mazlan @ Joehari Manan, yang mendakwa kenyataan terbaru Tei di luar mahkamah merupakan satu bentuk fitnah.
Dia mendakwa Tei telah membuat beberapa kenyataan “palsu dan berniat jahat” yang menyasarkan bukan sahaja Hajiji, malah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Dalam satu sidang media yang disiarkan secara langsung di luar Mahkamah Kota Kinabalu pada 30 Jun, Tei mempersoalkan mengapa hanya dia dan dua Adun didakwa dalam skandal perlombongan di negeri itu. Dia menyamakan mereka dengan "ikan bilis" sambil membayangkan bahawa "jerung-jerung" terlepas daripada pendakwaan.
Tei turut menyebut nama Hajiji, dan mendakwa pihak berkuasa mengamalkan pendakwaan secara terpilih.
Sidang media itu diadakan sejurus selepas Tei dan dua Adun tersebut didakwa di mahkamah berhubung skandal berkenaan.
