Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sindiket 'Fly': Kartel guna modus operandi baru untuk elak dikesan

Sindiket penipuan yang terlibat dalam aktiviti 'mencuci' status warga asing yang tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan kini dipercayai menggunakan kaedah lebih teratur bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Tinjauan Malaysiakini mendapati, pegawai-pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang terlibat dengan sindiket itu - atau lebih dikenali sebagai sindiket 'U-turn' dalam kalangan ejen - kini hanya perlu menyerahkan maklumat pasport warga asing terbabit.

Maklumat itu, kata seorang ejen yang enggan didedahkan identitinya, ditulis dalam sehelai kertas untuk diberikan kepada pegawai JIM berpangkat rendah yang bertindak sebagai 'runner'.

'Runner' itu kemudian didakwa memberikan maklumat tersebut kepada pegawai JIM yang bertugas di kaunter imigresen berkaitan, seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). 

"Pegawai terbabit akan memasukkan maklumat pasport ke dalam sistem seolah-olah warga asing berkenaan telah melalui proses imigresen. Bayaran dikenakan ialah sekitar RM1,500 seorang.

"Kemudian, ejen yang memegang pasport warga asing terbabit akan mengecop dokumen berkenaan dengan cop palsu yang mudah didapati di beberapa restoran milik warga asing di sekitar Jalan Ipoh dan Chow Kit dengan caj RM50," katanya.

Menjelaskan kegiatan itu kepada Malaysiakini, ejen terbabit berkata, melalui modus operandi baru itu pemegang pasport yang berada di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan masih boleh terlepas daripada tindakan jika penguat kuasa membuat pemeriksaan.

Hal itu kerana, katanya, maklumat berkenaan pasport berkenaan sudah dimasukkan ke sistem JIM dan menunjukkan warga asing terbabit berada di Malaysia secara sah.

Untuk rekod, sindiket itu - yang dikenali sebagai 'Fly' - merupakan kegiatan penipuan cop keluar dan masuk warga asing tanpa memerlukan kehadiran secara fizikal individu terbabit.

Ia membolehkan seseorang warga asing terus bebas berada di negara ini walaupun selepas tempoh yang diberikan berakhir. Mereka juga terlepas daripada disenarai hitam oleh pihak berkuasa.

Sebelum ini, kegiatan itu diuruskan oleh ejen yang akan menunggu di sesuatu tempat yang ditetapkan lebih awal untuk bertemu dengan anggota JIM sebelum pasport warga asing berkenaan dicop.

Sebagai balasan, wang habuan atas kegiatan itu akan bertukar tangan.

Namun, selepas pemantauan ketat dan beberapa tangkapan dibuat, modus operandi mereka bertukar apabila pegawai yang bersubahat menghadapi kesukaran untuk membawa keluar cop berkaitan.

Nombor siri yang terdapat pada cop itu juga akan memudahkan siasatan dalaman dibuat sekali gus dapat mengenal pasti dalangnya.

Kini, kata ejen berkenaan, sindiket itu menggunakan khidmat 'runner' 

"Runner akan menyerahkan pasport yang dikumpul mereka kepada pegawai JIM yang bertugas di kaunter imigresen untuk membolehkan data menunjukkan warga asing berkenaan seolah-olah sudah meninggalkan negara ini sebelum masuk semula, atau masih mempunyai tempoh yang sah," katanya.

Sementara itu, satu sumber dari Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata modus operandi yang baru itu dipercayai dijalankan dengan lebih teratur dan sukar dikesan.

"Pegawai hanya catat maklumat passport dalam sehelai kertas kecil dan disimpan dalam poket.

"Di kaunter, mereka menyorokkan kertas itu pada tangan supaya tidak dapat dikesan oleh pihak pemantau," katanya.

Malaysiakini difahamkan, satu laporan telah dibuat ke atas pegawai tersebut untuk siasatan dalaman.

Malaysiakini sudah menghubungi AKPS untuk mendapatkan komen mereka berhubung sindiket berkenaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS