Setiausaha Suhakam, Altaf Deviyati, berkata proses pemilihan pesuruhjaya baru telah selesai dan jawatankuasa pemilihan bebas juga telah menyerahkan cadangan mereka kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
“Buat masa ini, walaupun jumlah pesuruhjaya berkurangan, Suhakam terus melaksanakan fungsi terasnya, khususnya dalam siasatan yang sedang dijalankan, libat urus awam dan aktiviti pemantauan,” katanya kepada Malaysiakini.
Pesuruhjaya yang masih berkhidmat setakat 21 Jun ialah pengerusi Hishamudin Yunus, pesuruhjaya kanak-kanak Farah Nini Dusuki, dan Tengku Fauzi Hamid.
Khidmat mereka diteruskan di tengah-tengah kebimbangan yang dibangkitkan oleh Charles Hector daripada Malaysians Against Death Penalty and Torture (Madpet), berhubung ketiadaan pengumuman rasmi mengenai siapa yang akan dilantik sebagai pesuruhjaya bagi penggal 2025 hingga 2028.
Dalam kenyataan pada 16 Jun, Charles menyatakan harapan agar individu yang berkelayakan, bebas dan komited kepada hak asasi manusia dilantik segera bagi mengelakkan kekosongan kepimpinan.
“Kita tidak mahu berulangnya situasi pada tahun 2022, apabila Suhakam tidak mempunyai pengerusi dan pesuruhjaya selepas tamat tempoh perkhidmatan mereka pada 27 April – pesuruhjaya baru hanya dilantik lebih dua bulan kemudian, pada 22 Jun tahun yang sama,” katanya.
Dia turut menggesa supaya kuasa perdana menteri dan anggota eksekutif lain dalam pelantikan, pelantikan semula atau pemecatan pesuruhjaya dihapuskan sepenuhnya.
Di bawah Seksyen 5(2) Akta Suhakam 1999, pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, selepas berunding dengan jawatankuasa di bawah Seksyen 11A – di mana tiga ahlinya dilantik oleh perdana menteri, jelasnya.
Menurutnya, mekanisme ini menjejaskan kebebasan Suhakam, terutamanya kerana Seksyen 5(6) turut memberikan pengaruh kepada perdana menteri dalam urusan pelantikan semula.
Dia memberi amaran bahawa ini boleh menyebabkan tekanan terhadap pesuruhjaya untuk kekal berpihak kepada kerajaan demi memastikan pelantikan bagi penggal kedua.
Charles turut mencadangkan pindaan kepada akta berkenaan bagi melanjutkan tempoh perkhidmatan daripada tiga kepada enam tahun, tanpa pilihan untuk pelantikan semula atau lanjutan tempoh.
Dia juga menegaskan bahawa perdana menteri dan kerajaan perlu dilucutkan sebarang peranan dalam pelantikan pesuruhjaya.
“Sebuah institusi hak asasi manusia kebangsaan seperti Suhakam bukanlah jabatan atau agensi kerajaan, dan tidak sepatutnya diletakkan di bawah mana-mana menteri atau perdana menteri – ia mesti bebas daripada kerajaan, kerana dalam banyak kes, pihak yang didakwa melanggar hak asasi adalah pegawai awam di bawah pelbagai menteri dalam kabinet perdana menteri,” jelasnya.
Dia mencadangkan agar Suhakam diletakkan di bawah Parlimen atau satu badan bebas.
