Mahkamah Majistret di Sepang pagi ini tegang seketika apabila seorang lelaki — dipercayai ahli keluarga pelajar universiti yang dibunuh secara kejam di Cyberjaya pada 24 Jun lalu — secara tiba-tiba cuba menghampiri suspek utama.
Konfrontasi dramatik itu berlaku sekitar jam 9.50 pagi, sejurus selepas suspek utama, iaitu seorang lelaki tempatan bersama dua suspek wanita yang diiringi dua individu lain, dibawa keluar dari kamar mahkamah selepas pendengaran lanjutan reman.
Lelaki berkenaan tiba-tiba menghampiri mereka sambil menjerit: "Woi!, kau bunuh saya punya adik, pakai otak sikit lah, saya punya adik you (kamu) kasi mati," teriaknya dari jauh.

Tindakan pantas anggota polis yang berada di lokasi menenangkan individu terbabit berjaya meredakan keadaan selain mengelak perkara tidak diingini berlaku, lapor Berita Harian.
Sementara itu, peguam yang mewakili suspek utama, M Manoharan, mempersoalkan tindakan polis yang mengeluarkan kenyataan mendakwa anak guamnya 'mempunyai niat tidak baik'.
Katanya, siasatan masih berjalan dan polis tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan sedemikian kerana, mengikut undang-undang, seseorang dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya tanpa keraguan munasabah.
"Kami sudah bangkitkan bantahan kepada Puan Majistret berhubung tindakan Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, yang mengeluarkan kenyataan serta cebisan-cebisan keterangan yang boleh menjejaskan kes anak guam saya.

"Ini adalah perkara yang sangat serius, tugas polis adalah untuk menyiasat, dan kita mempunyai hakim yang bijaksana, terpelajar dan berwibawa untuk menentukan siapa yang bersalah dan siapa yang tidak," katanya.
Pada Selasa lalu, Hussein mendedahkan bahawa suspek utama telah beberapa kali pernah menginap di kondominium di Cyberjaya, tempat kejadian pembunuhan berlaku, kerana teman wanitanya — yang turut ditahan — merupakan rakan serumah dengan mangsa.
Dia berkata siasatan mendapati teman wanita suspek yang berusia 20 tahun itu telah menyerahkan kad akses dan kunci unit kepada suspek sebelum kejadian.
“Polis dapati kes ini lebih kepada suspek ambil kesempatan kepada mangsa yang tinggal seorang, suspek memang ada niat tidak baik kepada mangsa, jadi bila ada peluang yang mana sewaktu kejadian suspek dia telah berada di apartmen itu guna kad akses yang diberi teman wanitanya yang telah balik kampung selepas tempoh peperiksaan.

“Dalam tempoh itu, suspek ambil kesempatan ke atas mangsa degan memukulnya menggunakan objek sehingga menyebabkan kecederaan menjadi punca kematian,” jelasnya.
