Exco Pemuda Bersatu (Armada), Na'im Brundage, membuat laporan polis berhubung maklumat ancaman serius yang membabitkan rancangan untuk membunuh atau mencederakannya menggunakan asid oleh seorang individu tidak dikenali.
Dia yang juga pengarah Jabatan Komunikasi dan Media Baharu Armada berkata, dirinya tidak menolak kemungkinan ancaman itu bermotifkan politik memandangkan dia bergiat aktif dalam dunia politik dan lantang menyuarakan pandangan secara terbuka dalam media sosial serta media massa.
“Demi melindungi keselamatan diri dan keluarga, saya telah membuat laporan polis semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
“Saya menyerahkan perkara ini sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh.
“Namun begitu, ugutan seperti ini sama sekali tidak akan melunturkan semangat saya untuk terus bersuara demi rakyat, dan saya ingin menegaskan bahawa saya tidak akan sesekali tunduk kepada sebarang bentuk ancaman, tekanan atau intimidasi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Na'im menggesa seluruh rakyat negara ini agar bersatu menolak budaya politik keganasan dan mempertahankan amalan politik yang matang dan berlandaskan undang-undang.
