Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes Ismail Sabri: SPRM mohon lucut hak RM170 juta, kes di tangan TPR
Diterbitkan:  Jul 3, 2025 6:18 PM
Dikemaskini: 10:18 AM

SPRM akan membuat permohonan kepada mahkamah untuk melucutkan semua aset, termasuk wang tunai RM170 juta dan 16 kilogram jongkong emas yang ditemui dalam 'safehouse' yang dikaitkan dengan Perdana Menteri Kesembilan, Ismail Sabri Yaakob.

Ketua pesuruhjayanya, Azam Baki, berkata SPRM akan memohon melucutkan kesemua aset itu dalam masa terdekat.

“Kes ini telah selesai dan kini bergantung kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk membuat sebarang pertuduhan jenayah yang membabitkan Datuk Seri Ismail Sabri.

“Setakat ini, TPR telah bersetuju supaya proses untuk melucut hak aset yang dirampas difailkan dalam tempoh satu hingga dua minggu lagi selepas afidavit dikemukakan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, hari ini.

Azam berkata, sekiranya bekas perdana menteri itu memilih untuk mencabar permohonan berkenaan di mahkamah, perbicaraan akan dijalankan.

"Wang ini sekiranya berjaya dilucuthakkan, ia akan menjadi hasil kepada kerajaan. Itu yang diputuskan.

"Timbalan Pendakwa Raya belum memutuskan ada pertuduhan atau tidak, kita sudah siapkan kerja dan terpulang kepada mereka untuk menilainya,” katanya.

Menurut Azam, aset yang akan dilucut hak itu adalah seperti yang telah ditunjukkan kepada wartawan semasa sidang akhbar pada Mac lalu.

Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di ibu pejabat SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia ketika tempoh perkhidmatannya sebagai perdana menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes berkenaan disiasat mengikut peruntukan di bawah Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS