Penasihat Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh Dr Asif Nazrul menggesa kerajaan Malaysia agar menyemak semula memorandum persefahaman (MOU) antara dua negara berhubung pengambilan pekerja asing, yang ditandatangani pada 2021.
Menyifatkan MOU itu sebagai “sindiket”, Asif berkata Bangladesh mungkin tidak akan menghantar pekerja warganya lagi ke Malaysia jika MOU itu tidak dipinda.
Berdasarkan MOU itu, kata Asif, pihak Malaysia akan menyediakan senarai agensi pengambilan pekerja dari Bangladesh manakala pihak negara itu akan membuat pemilihan akhir.
“Proses ini adalah apa yang kami rujuk sebagai 'sindiket’.
"Sekarang kita bertanggungjawab, ada tekanan untuk membanteras sindiket itu. Tetapi ia memerlukan semakan semula perjanjian sedia ada, yang kita tidak boleh buat secara sepihak. Ia perlu dirundingkan.
"Jika Malaysia enggan meminda perjanjian itu, kami berdepan dua pilihan - sama ada meneruskan penghantaran pekerja melalui 25, 50, atau 100 agensi yang dicadangkan, atau tidak menghantar pekerja langsung,” katanya seperti dipetik media Bangladesh, Banglatribune.com semalam.
"Jika saya membenarkan pengambilan melalui ‘’sindiket’, saya akan dituduh menyokongnya. Tetapi, jika kita tidak menghantar sesiapa, 40,000 pekerja boleh kehilangan peluang dan memberi kesan kepada hampir 100,000 keluarga," katanya lagi.
MOU itu dimeterai selepas perjanjian sebelumnya tamat pada 17 Februari 2020, dengan terma baru akan berkuat kuasa sehingga Disember 2026.
Ketika itu, Malaysia dan Bangladesh berkata MOU baru tersebut berhasrat menghapuskan “sindiket” yang dibentuk oleh senarai agensi terpilih untuk mengendalikan proses merekrut pekerja, amalan yang pada masa lalu dikaitkan dengan peningkatan kos dan pelbagai kejanggalan.
Di bawah MOU itu, Malaysia mencadangkan senarai 25 Ejen Pengambilan Bangladesh (BRA) dan 250 sub-ejen, namun ditolak Menteri Kebajikan Ekspatriat dan Pekerjaan Luar Negara Bangladesh ketika itu, Imran Ahmed.
Persatuan Agensi Pengambilan Antarabangsa Bangladesh (Baira) pula menuntut peluang saksama diberikan kepada kira-kira 1,600 anggotanya untuk menghantar pekerja ke Malaysia.
Sementara itu, Asif mengjangkakan Malaysia akan mengurangkan pengambilan tenaga kerja dari Bangladesh pada masa akan datang.
"Ada spekulasi bahawa Malaysia akan ambil sejuga hingga 1.2 juta pekerja. Saya baru balik dari sana.
"Dalam tempoh setahun akan datang, Malaysia mungkin hanya akan ambil 30,000 hingga 40,000 pekerja dari Bangladesh," katanya lagi.
Untuk rekod, pada 23 Okt 2024, polis Bangladesh telah menahan Imran susulan siasatan berskala besar melibatkan agensi yang menghantar pekerja ke Malaysia.
