Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ULASAN | Lantik ketua hakim baru, kekalkan keyakinan pada institusi kehakiman

Kelewatan pelantikan ketua hakim negara tidak seharusnya berlaku.

Kerajaan perlu segera mengumumkan pelantikan baru ketua hakim negara seperti yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan dan proses Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) bagi mengekalkan keyakinan awam terhadap institusi kehakiman dan kelancaran proses pengadilan.

Perlu diingatkan jawatan ketua hakim negara bukan sekadar jawatan simbolik dalam sistem kehakiman negara tetapi juga melibatkan isu integriti, kebebasan dan kelancaran keseluruhan sistem kehakiman.

Tidak dapat dipastikan punca-punca kelewatan pelantikan ketua hakim negara ini.

Kita harus memastikan orang ramai terus percaya dan yakin terhadap sistem kehakiman negara.

Ketua hakim negara ialah ketua Mahkamah Persekutuan, mahkamah tertinggi Malaysia.

Ia kedudukan tertinggi dalam sistem kehakiman Malaysia diikuti oleh presiden mahkamah rayuan, hakim besar Malaya, dan hakim besar Sabah dan Sarawak.

Peranan ketua hakim ada ditakrifkan dalam Perlembagaan Persekutuan, bawah Artikel 122 (1): 

"Mahkamah Persekutuan hendaklah terdiri daripada seorang yang dipertua mahkamah (yang digelar "ketua hakim negara Mahkamah Persekutuan").”

Ketua hakim adalah ketua badan kehakiman.

Tetapi peranan dan fungsi ketua hakim lain daripada peguam negara (AG) sebab mereka bekerja di cabang kerajaan yang berbeza.

Dengan kata lain, ketua hakim adalah ketua pada semua mahkamah dan ada kekananan terhadap semua hakim.

Ketua hakim juga bertanggungjawab menghubungkan badan kehakiman dan kerajaan apabila melibatkan dasar dan amalan.

Ketua hakim negara bertanggungjawab untuk memastikan keadilan ditegakkan dan undang-undang dipatuhi.

Ketua hakim negara juga memainkan peranan penting menjamin proses kehakiman yang adil dan tidak berat sebelah.

Sudah sampai masanya kita melihat semula pada proses lantikan ketua hakim negara ini serta melakukan proses penambahbaikan terhadapnya.

Terdapat beberapa cadangan penambahbaikan yang dicadangkan oleh ramai pihak yang boleh diberi pertimbangan seperti meletakkan had tempoh lantikan serta melihat semula peranan perdana menteri dalam proses pelantikan berkenaan.

Satu jawatankuasa khas boleh dibentuk bagi menilai semua cadangan penambahbaikan ini dengan bantuan pakar perundangan yang terdiri daripada pengamal undang-undang dan ahli akademik.


MUZAFFAR SYAH MALLOW berkhidmat sebagai profesor madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS