Khutbah Jumaat Majlis Agama Islam Selangor (Mais) hari ini menekankan negeri itu sebagai sebuah negeri yang berpegang kepada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).
Menurut teks khutbah Mais, akidah ASWJ merupakan pegangan majoriti umat Islam di seluruh dunia, khususnya di rantau Asia Tenggara termasuk menjadi pegangan umat Islam negara ini.
"Bahkan, ia telah ditetapkan sebagai pegangan rasmi umat Islam di negara ini berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, pandangan para mufti serta ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa seluruh negeri,” katanya.
Mimbar juga memetik muzakarah khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 5 Mei 1996 bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah dari segi akidah, syariah dan akhlak.
Katanya, kerajaan negeri Selangor juga telah mewartakan fatwa berkaitan ASWJ pada 17 Jun 2025 dengan menyatakan bahawa ASWJ dari sudut akidah dan tauhid, mengikut manhaj Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari, Imam Abu Mansur al-Maturidi, ulama al-Asha’irah dan al-Maturidiah.
Dari sudut syariah dan fikah, sesuatu hukum ditentukan berdasarkan pegangan mazhab Imam al-Shafi‘i, atau dalam keadaan tertentu, boleh juga merujuk kepada pandangan Mazhab Hanafi, Maliki, Hanbali, atau ijtihad hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa.
"Manakala dari sudut akhlak dan tasawuf, aliran ini mengikut manhaj Imam Junaid al-Baghdadi, Imam al-Ghazali atau ulama sufi yang muktabar,” katanya.

Sebelum ini ada sedikit perselisihan berhubung takrifan ASWJ di negara ini, antaranya pada 11 Julai tahun lalu apabila Raja Perlis bertitah bahawa rang undang-undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan akan menyebabkan negara-negara Islam lain mudah dianggap terkeluar dari kalangan ASWJ.
Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail malah menyifatkan ia sebagai membawa “takrifan sempit” dan tidak bersifat inklusif.
Baginda antaranya memberi contoh negara seperti Arab Saudi dan Qatar yang boleh terkeluar daripada Ahli Sunnah jika takrifan sama diguna pakai.
"Utamakan sikap berhati-hati, berfikiran panjang serta penuh hikmah dan santun dalam setiap tindakan.
"Biarlah sesuatu keputusan yang diambil hari ini tidak menimbulkan pertikaian berpanjangan," titah baginda.
Sementara itu khutbah Selangor turut menyentuh tafsiran yang jelas mengenai ASWJ adalah penting bagi memastikan ia tidak digunakan oleh kelompok lain.
Ajaran seperti Syiah, al-Arqam, Hizbut Tahrir adalah jelas menyimpang dan terkeluar daripada pegangan ASWJ, katanya.
Katanya, ASWJ bukanlah kelompok yang ekstrem serta ulama ASWJ cukup berhati-hati dalam isu takfiri.
"Sekiranya istilah ASWJ tidak ditakrifkan secara jelas dan menyeluruh, dibimbangi istilah ini akan disalah guna oleh golongan yang membawa ajaran menyimpang seperti Syiah, Arqam, Hizbut Tahrir, liberalisme, pluralisme agama dan seumpamanya.
"Mereka mungkin mendakwa termasuk dalam kelompok ASWJ sedangkan hakikatnya mereka menolak prinsip-prinsip utama yang dipersetujui oleh jumhur ulama ASWJ sepanjang zaman.
"Di samping itu, tafsiran ini sebenarnya tidaklah mengeluarkan mana-mana kumpulan atau aliran lain yang sama manhaj dan kefahaman dengan al-Asha’irah dan al-Maturidiah daripada ASWJ, selagi mana sesuatu aliran itu mengikuti manhaj yang sama walaupun berlainan nama dan nisbah, selagi itu aliran tersebut adalah ASWJ," katanya.
