MCA melantik peguam hak asasi manusia terkemuka, Edmund Bon untuk mewakili ahli parti itu yang kini berdepan tindakan undang-undang daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Presiden MCA, Wee Ka Siong berkata, keputusan itu dibuat selepas Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun, yang sebelum ini membangkitkan kebimbangan mengenai isu serahan data peribadi, menerima surat tuntutan daripada sebuah firma guaman yang mewakili MCMC.
Dalam satu video TikTok bulan lalu, Wong mempersoalkan arahan MCMC kepada syarikat telekomunikasi supaya menyerahkan rekod terperinci berkaitan penggunaan telefon dan internet pengguna. Dia kemudian dipanggil oleh pihak polis untuk disoal siasat dan telefonnya turut dirampas.
"Firma guaman ini telah mengeluarkan satu surat kepada beliau untuk memohon maaf dalam tempoh 24 jam, dan turunkan kandungan video dalam TikTok bahasa Malaysia mengenai kebebasan bersuara seperti mana yang pernah Siew Mun paparkan dalam Tik Tok tersebut.
"Dalam surat ini juga diminta supaya beliau membuat akujanji tidak lagi komen dan di mana-mana media sosial sekiranya ada kandungan yang sama kena diturunkan.
"Pihak MCA telah berbincang dengan peguam-peguam dan kita mendapati ini adalah satu tuntutan yang tidak munasabah. Pada waktu yang sama seperti mana MCA janjikan, kita akan memperjuangkan dan membela nasib Wong Siew Mun.
"Keputusan parti ialah sebuah pasukan guaman akan ditubuhkan secara dalaman. Pada waktu yang sama, kita telah melantik Edmund Bon, seorang peguam yang berpengalaman khususnya dalam isu hak asasi manusia, untuk mewakili Wong Siew Mun dalam segala urusan dan prosedur di mahkamah," kata Wee dalam satu video yang dimuat naik di Facebook.

Edmund Bon kini juga merupakan wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR).
Ketua Pemuda MIC, Arvind Krishnan sebelum ini turut menggesa pihak berkuasa menghentikan siasatan terhadap Mun.
Menurutnya, Kementerian Komunikasi sepatutnya bertindak secara telus terhadap isu ini, bukannya mengambil tindakan melalui pihak berkuasa.
“Tindakan merampas telefon beliau dan merakam kenyataannya di bawah Seksyen 505 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia menghantar mesej yang menakutkan kepada semua rakyat Malaysia: hanya kerana bertanya soalan, anda boleh disiasat,” katanya.
Timbalan Presiden MCA, Mah Hang Soon turut menggesa kerajaan agar tidak melayan mereka yang tidak sependapat sebagai musuh.
