Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kumpulan pertikai alasan mesyuarat JAC dibuat tergesa-gesa
Diterbitkan:  Jul 6, 2025 3:28 PM
Dikemaskini: 7:28 AM

Sekretariat Pertahan Sistem Kehakiman menyatakan kebimbangan terhadap tindakan Pemangku Ketua Hakim Negara Hasnah Hashim mengadakan mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang disifatkan secara tergesa-gesa.

Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid dan Presiden Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf) P Waythamoorthy - bagi pihak sekretariat itu berkata tindakan Hasnah melanggar Seksyen 13 Akta JAC 2009, yang memerlukan notis 10 hari untuk suruhanjaya itu bermesyuarat.

Sekretariat itu mempersoalkan keperluan mengadakan mesyuarat itu secara tergesa-gesa, dan mempersoalkan sama ada Anwar telah menolak senarai calon kehakiman JAC atau sama ada perdana menteri mengarahkan suruhanjaya itu untuk bermesyuarat.

"Orang ramai kini semakin mempersoalkan sama ada wujud pengaruh luar, terutamanya daripada perdana menteri.

"Perdana menteri kini sedang menghadapi tentangan yang semakin meningkat berhubung peranannya di bawah Perlembagaan dalam menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan kehakiman," kata mereka dalam satu kenyataan media hari ini.

Pada hari Jumaat (4 Julai), Free Malaysia Today memetik sumber, melaporkan bahawa Hasnah - yang secara rasmi memegang jawatan sebagai pemangku Ketua Hakim Negara hari sebelumnya - mengadakan mesyuarat JAC pada jam 3 petang.

JAC bertanggungjawab untuk mengesyorkan calon untuk pelantikan atau kenaikan pangkat ke mahkamah atasan – Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Berikutan persaraan mandatori bekas Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim awal minggu ini, hanya tujuh anggota yang kekal dalam suruhanjaya itu.

Menurut sumber berkata senarai calon untuk jawatan tertinggi kehakiman negara, termasuk Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Malaya dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, telah pun diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri semasa tempoh Tengku Maimun.

Mengulas lanjut, sekretariat itu bertanya sama ada Anwar meminta pencalonan baru bagi calon kehakiman memandangkan Majlis Raja-Raja dijadualkan bermesyuarat berhubung pelantikan kehakiman dalam tempoh dua minggu.

"Adakah perdana menteri campur tangan dalam proses pelantikan kehakiman bagi memastikan pelantikan sejajar dengan kepentingan peribadi atau politiknya?

"Adakah tindakan ini bertujuan untuk mendahului kemungkinan sidang tergempar Parlimen yang mungkin dipanggil oleh ketua pembangkang?

"Adakah perdana menteri bertindak melangkaui kuasa Perlembagaan?" soal mereka.

Ia mengulangi gesaan agar Anwar menarik diri daripada semua pelantikan kehakiman, menyorot kepada kuasa perdana menteri dalam isu itu ketika ini.

Sambil menyeru Anwar berundur sebagai perdana menteri, ia menggesa pelantikan pengganti, berkata ia perlu dilakukan untuk memelihara integriti badan kehakiman dan kepercayaan awam.

Ia juga menyuarakan kebimbangan campur tangan kehakiman dan implikasi laporan polis yang dibuat oleh seorang pembantu kepada hakim Mahkamah Persekutuan.

Laporan polis itu, yang dibocorkan dan diedarkan dalam kalangan pengamal undang-undang, berlaku di tengah-tengah dakwaan bahawa hakim itu disoal oleh JAC berhubung kemungkinan campur tangan dalam hal ehwal kehakiman.

Pada Jumaat, sekretariat itu menggesa ahli parlimen membahaskan isu pelantikan kehakiman, dengan berkata Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin perlu membentangkan usul tergempar di Dewan Rakyat.

Ia menimbulkan kebimbangan mengenai laporan bahawa pelantikan kehakiman tertentu, seperti pelantikan bekas peguam negara Ahmad Terrirudin Salleh ke jawatan penting kehakiman, dibuat walaupun namanya tidak pernah disyorkan oleh JAC.

Sekretariat itu dibentuk berikutan sidang meja bulat yang dipengerusikan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad bulan lepas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS