Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Unisiraj pertimbang tindakan berhubung laporan pecat staf kontrak
Diterbitkan:  Jul 6, 2025 10:58 PM
Dikemaskini: 3:14 PM

Pihak pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (Unisiraj) menafikan dakwaan bahawa universiti itu telah menamatkan kontrak 30 stafnya tanpa sebarang notis awal diberikan.

Dalam satu kenyataan, universiti itu berkata tiada mana-mana pihak dipecat atau diberhentikan kerana kakitangan yang tidak disambung kontrak adalah lantikan di bawah terma “Fixed Term Contract” iaitu kontrak bertempoh yang dipersetujui kedua-dua pihak.

Universiti itu juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung laporan yang disiarkan Malaysiakini.

Terdahulu, Malaysiakini hari ini turut menyiarkan kenyataan Rektor universiti itu, Rozaimi Ramle yang menjelaskan penamatan kontrak beberapa staf universiti itu berlaku secara teratur selepas kontrak kerja mereka tamat mengikut tempoh ditetapkan.

Berikut kenyataan penuh universiti terbabit:

Pihak Pengurusan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) mengambil maklum serta telah meneliti sepenuhnya laporan berita yang disiarkan oleh Puan Shakira Buang melalui portal MalaysiaKini pada 6 Julai 2025 jam 9.00 pagi.

Kenyataan-kenyataan yang diterbitkan dalam laporan tersebut adalah bersifat tuduhan tidak berasas dan berunsur fitnah yang mencemarkan nama baik UniSIRAJ. Penjelasan rasmi adalah seperti berikut:

1. Terma lantikan kontrak kakitangan.

Fakta yang perlu diketahui tiada mana-mana pihak yang dipecat atau diberhentikan serta-merta. Semua pihak yang tidak disambung kontrak itu adalah lantikan di bawah terma “Fixed Term Contract” iaitu kontrak bertempoh yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak sejak awal. Kontrak perkhidmatan tersebut mempunyai tarikh tamat kontrak yang jelas dan tidak menjanjikan lanjutan, kecuali jika diperbaharui atas keperluan semasa. UniSIRAJ tidak terikat di bawah perjanjian untuk menyambung perkhidmatan staf kontrak melainkan jika ada keperluan.

2. Jumlah kakitangan terhad.

Hanya 15 orang kakitangan yang telah tamat kontrak perkhidmatan dalam tempoh yang dinyatakan, bukan 30 orang seperti yang dilaporkan.

3. Kebajikan dan ruang rayuan.

UniSIRAJ masih membuka ruang rayuan kepada kakitangan terlibat untuk pertimbangan lanjut. Semua kakitangan yang tidak dilanjutkan kontrak menerima gaji melebihi RM2,000, bukan antara RM1,500 hingga RM2,000 seperti yang dinyatakan dalam laporan.

4. Tuduhan berkaitan Maips dan kewangan.

Dakwaan berkaitan teguran oleh MAIPs serta salah laku kewangan adalah tidak berasas. Tindakan UniSIRAJ adalah sebahagian daripada proses penstrukturan tenaga kerja untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan operasi berdasarkan kapasiti semasa. Tindakan ini juga selepas mengambil kira laporan audit perjawatan dan bengkel analisis yang dilakukan beberapa kali perbincangan melibatkan panel pakar.

5. Lawatan kerja ke Uzbekistan.

Lawatan kerja ke Uzbekistan adalah inisiatif strategik universiti dalam memperluaskan jaringan kerjasama antarabangsa di rantau Asia Tengah. Hasil lawatan tersebut termasuk pemeteraian projek penyelidikan bersama Institut Imam Bukhari serta kunjungan balas oleh Gabenor Tashkent ke UniSIRAJ pada April 2025.

6. Tindakan undang-undang.

Pihak UniSIRAJ mempertimbangkan serta mengekalkan haknya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pihak Malaysiakini atau mana-mana pihak atas penerbitan berita yang tidak benar.

Pihak UniSIRAJ komited untuk terus menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam membangunkan

institusi pendidikan tinggi Islam yang berintegriti dan berdaya saing.

Sekian, terima kasih.

Jazakumullahu Khairan.

Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Canselori.

Berita berkaitan: Unisiraj nafi pecat staf mengejut, tegaskan kontrak tamat secara sah

Staf kontrak Unisiraj resah ditamat kerja mengejut


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS