Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memperkecilkan kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen PKR semalam berhubung kemungkinan berlaku krisis dalam badan kehakiman.
AGC juga menyatakan bahawa perbandingan dengan skandal VK Lingam adalah tidak wajar.
Dalam satu kenyataan, AGC mengakui bahawa dakwaan terhadap seorang Hakim Mahkamah Persekutuan yang didakwa campur tangan dalam keputusan dan pelantikan kehakiman adalah perkara serius.

Namun begitu, AGC menjelaskan bahawa perbincangan dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) – lokasi dakwaan itu dibangkitkan – adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang.
Selain itu, AGC menyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai salah laku yang telah dibuktikan atau memberi kesan kepada kebebasan badan kehakiman.
“Tuduhan tersebut tidak boleh disamakan dengan salah laku yang telah pun dibuktikan atau menjejaskan kebebasan kehakiman dan ia kekal sebagai dakwaan pra-matang serta bersifat spekulatif semata- mata.
“Perbandingan dengan kes VK Lingam pada tahun 2007 adalah suatu perkara yang tidak wajar (unwarranted) pada peringkat ini. Kes tersebut melibatkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu.

“Keadaan tersebut adalah berbeza dengan senario semasa yang mana tuduhan/dakwaan hanya bersandarkan kepada ketidakaturan dari aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh,” kata AGC.
Dakwaan terhadap hakim kanan itu dilaporkan dibuat semasa mesyuarat JAC ketika Tengku Maimun Tuan Mat masih menjadi ketua hakim negara.
Ia menjadi perhatian umum dua minggu lalu selepas laporan polis dibuat bagi pihak seorang hakim pada 12 Jun berhubung beberapa soalan yang dikemukakan oleh Malaysiakini mengenai perkara itu dibocorkan.
Ini adalah kali pertama kerajaan mengakui dakwaan itu.
Semalam sepuluh ahli parlimen PKR diketuai bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli menggesa penubuhan RCI - serta jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSSC) mengenai reformasi institusi - untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman.

Kumpulan itu juga mahu RCI menyiasat dakwaan bahawa kerajaan tidak bertindak atas cadangan JAC sebelum Tengku Maimun bersara minggu lalu, termasuk ke atas calon ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.
Lebih lanjut kumpulan itu berkata RCI juga perlu menyiasat dakwaan bahawa JAC telah dipanggil Jumaat lalu, tanpa mematuhi peraturan notis 10 hari, untuk mencadangkan calon baharu bagi kekosongan tersebut.
Rafizi berkata dakwaan itu sama seriusnya dengan skandal Lingam - merujuk kepada rakaman peguam VK Lingam pada 2002, yang mendedahkan dalam panggilan telefon bagaimana dia mempengaruhi pelantikan hakim-hakim utama.
Video yang didedahkan pada tahun 2007 itu, mencetuskan kemarahan yang meluas sehingga akhirnya membawa kepada pembentukan JAC pada tahun 2009.
Sejak penubuhannya, peranan JAC adalah untuk memantau dan mengesyorkan pelantikan kehakiman kepada perdana menteri, dan secara teori sepatutnya mengekalkan kuasa perlembagaan perdana menteri untuk melantik hakim.
Bagaimanapun, perdana menteri mempunyai pengaruh besar terhadap JAC, dengan lima daripada sembilan ahli dilantik oleh perdana menteri.

Dalam kenyataannya hari ini, AGC juga membayangkan bahawa perdana menteri boleh mengabaikan saranan JAC untuk "melindungi' badan kehakiman.
“Dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
“Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar ‘konduit’ yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman,” kata AGC.
Bagaimanapun, katanya Seri Paduka telah memperkenankan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan bulan lepas, tetapi ia masih dalam proses melalui beberapa formaliti.
Berikut kenyataan penuh Jabatan Peguam Negara:
Jabatan ini merujuk kepada kenyataan media oleh YB Pandan bersama beberapa ahli Parlimen yang mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan dan Jawatankuasa Pilihan Parlimen berhubung dengan pelantikan dalam badan kehakiman, termasuk jawatan tertinggi dalam institusi tersebut.
Jabatan ini mengiktiraf kepentingan keyakinan rakyat dalam proses pemilihan kehakiman dan menegaskan prinsip kebebasan badan kehakiman sebagaimana dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Pelantikan hakim mahkamah atasan telah diperuntukkan di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan hakim hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri, setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja. Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2009 [Akta 695] merupakan undang-undang yang memperincikan proses pemilihan calon hakim, namun kuasa untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah terletak secara eksklusif kepada YAB Perdana Menteri.
Tempoh masa dan proses memuktamadkan pelantikan, khususnya bagi jawatan seperti Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan adalah tertakluk kepada tatacara yang telah ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan. la hendaklah mengambil kira segala aspek termasuk keperluan berunding dan penjalanan kuasa budi bicara mengikut kerangka perlembagaan sedia ada.
Dakwaan bahawa terdapat kelewatan dalam proses pelantikan dan kegagalan mengambil tindakan terhadap pencalonan terdahulu hendaklah dilihat dari sudut peruntukan Perlembagaan Persekutuan. YAB Perdana Menteri tidak boleh dianggap sekadar "konduit" yang menerima syor daripada mana-mana pihak, sebaliknya mempunyai tanggungjawab di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk menasihati KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi maksud melindungi kebebasan, kredibiliti dan integriti badan kehakiman. Jabatan ini dimaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan beberapa hakim Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan pada bulan lalu dan pelantikan tersebut masih perlu melalui beberapa formaliti. Justeru, pelantikan sedemikian wajar dilakukan dengan tertib dan teratur.
Berhubung dengan kenyataan bahawa mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dipanggil tanpa notis yang mencukupi menurut seksyen 13(2) Akta 695, perlu dinyatakan bahawa JAC boleh mengawalselia prosedurnya sendiri. Apabila terdapat keadaan yang mendesak, pada lazimnya pihak berkuasa boleh meneruskan mesyuarat dengan notis yang pendek sekiranya terdapat persetujuan semua anggota. Perkara bersifat prosedural tidak seharusnya menjejaskan kesahan pertimbangan JAC melainkan wujud unsur mala fide atau prejudis yang jelas.
Tuduhan bahawa seorang hakim Mahkamah Persekutuan mempengaruhi terlibat dalam keputusan mahkamah serta penugasan semula hakim merupakan dakwaan yang serius. Walau bagaimanapun, pertimbangan dalam mesyuarat JAC adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang. Tuduhan tersebut tidak boleh disamakan dengan salah laku yang telah pun dibuktikan atau menjejaskan kebebasan kehakiman dan ia kekal sebagai dakwaan pra-matang serta bersifat spekulatif semata- mata.
Perbandingan dengan kes VK Lingam pada tahun 2007 adalah suatu perkara yang tidak wajar (unwarranted) pada peringkat ini. Kes tersebut melibatkan keterangan yang jelas mengenai campur tangan dalam proses pelantikan hakim sehingga Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan pada ketika itu. Keadaan tersebut adalah berbeza dengan senario semasa yang mana tuduhan/dakwaan hanya bersandarkan kepada ketidakaturan dari aspek prosedur dan anggapan yang tidak disokong oleh bukti yang kukuh.
Parlimen sentiasa boleh meneliti hal tatakelola institusi melalui penubuhan jawatankuasa di bawahnya. Namun begitu, hal pelantikan di bawah Perlembagaan Persekutuan hendaklah ditangani secara cermat supaya penjalanan kuasa oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan YAB Perdana Menteri tidak dijadikan polemik politik. Kedua-dua institusi ini hendaklah menjalankan kuasa secara bebas sebagaimana yang termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Jabatan ini akan sentiasa menasihati Kerajaan dalam urusan pentadbiran keadilan sekiranya terdapat keterangan yang berasas. Dalam ketiadaan keterangan sedemikian, semua pihak yang diberi kuasa menurut undang-undang perlu diberi ruang untuk melunaskan tanggungjawab mereka tanpa sebarang tekanan, spekulasi atau kempen awam.
Situasi pada masa ini hendaklah diawasi dan diharap tiada pihak yang akan bertindak terburu-buru. Percanggahan tempoh masa atau prosedur dalam hal pelantikan tidak semestinya merupakan suatu krisis perlembagaan. Sistem pelantikan hendaklah dilaksanakan melalui prosedur yang sah, menghormati peranan institusi dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Semua pihak hendaklah sentiasa bertanggungjawab untuk menegakkan keluhuran undang-undang dan prinsip pemisahan kuasa. Tanggungjawab tersebut boleh dilaksanakan sebaik-baiknya dengan memperkukuhkan kematangan institusi dan bukan dengan hanya membuat spekulasi yang tidak berasas.
