Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Latheefa kecam AGC: Tiada hak tutup kes hakim sebelum siasatan
Diterbitkan:  Jul 8, 2025 11:30 AM
Dikemaskini: 3:53 AM

Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya, hari ini mengecam keras tindakan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang menurutnya cuba menutup dakwaan salah laku membabitkan seorang hakim kanan Mahkamah Persekutuan tanpa sebarang siasatan bebas.

Dalam kenyataan media, hari ini, Latheefa menyifatkan kenyataan AGC sebagai tidak wajar dan amat mengecewakan, khususnya apabila isu serius seperti dakwaan campur tangan dalam keputusan kehakiman hanya dilabel sebagai "ketidakaturan prosedur".

“Saya ingin mengingatkan AGC bahawa dakwaan bahawa hakim berkenaan telah meminta ketua hakim negara untuk ‘membuat keputusan yang memihak kepada pihak tertentu’ bukanlah ketidakaturan prosedur semata-mata.

“Ini menyentuh teras kepada prinsip ketidakberpihakan dan integriti kehakiman. Keputusan mesti dibuat berdasarkan fakta kes dan tidak boleh dipengaruhi oleh unsur luar.

“Sebarang campur tangan luar merupakan salah laku rasuah. Ia mesti disiasat segera, dengan pantas dan secara bebas. Tiada kompromi dalam perkara ini,” katanya yang jiga adalah bekas ketua pesuruhjaya SPRM.

Menurut peguam itu, kenyataan AGC bahawa dakwaan berkenaan “tidak disokong oleh bukti kukuh” menunjukkan satu penolakan awal yang tidak bertanggungjawab dan seolah-olah dibuat tanpa siasatan rapi.

“Atas asas apa AGC membuat kenyataan ini? Adakah siasatan serius telah dijalankan ke atas dakwaan tersebut? Apakah siasatan bebas telah mengesahkan bahawa tiada bukti kukuh?”soalnya.

Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini memperkecilkan kebimbangan yang dibangkitkan oleh beberapa ahli Parlimen PKR semalam berhubung kemungkinan berlaku krisis dalam badan kehakiman.

Dalam dakwaan semalam sepuluh ahli parlimen PKR diketuai bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli menggesa penubuhan RCI - serta jawatankuasa pilihan khas Parlimen (PSSC) mengenai reformasi institusi - untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman.

Bagaimanapun AGC dalam kenyataan hari ini berkata, bahawa perbincangan dalam Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) – lokasi dakwaan itu dibangkitkan – adalah berstatus rahsia dan dilindungi undang-undang.

Selain itu, AGC menyatakan bahawa dakwaan tersebut tidak boleh dianggap sebagai salah laku yang telah dibuktikan atau memberi kesan kepada kebebasan badan kehakiman.

Ia juga menyebut bahawa tuntutan penubuhan sebuah RCI kerana membandingkan apa yang berlaku dengan skandal VK Lingam adalah tidak wajar.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata, dia amat terkejut dengan kenyataan AGC.

“Hakikatnya, AGC tidak sepatutnya menolak dakwaan tersebut atau membuat sebarang kesimpulan pada peringkat ini.

“AGC turut mengenepikan kebimbangan meluas berkaitan pelantikan hakim-hakim tertinggi. Mereka mendakwa semuanya dilakukan mengikut Perlembagaan.

“Namun begitu, ini tidak menjawab persoalan sah mengenai mengapa Ketua Hakim Negara yang terdahulu tidak diberikan lanjutan perkhidmatan, sehingga mewujudkan kekosongan di peringkat tertinggi badan kehakiman. Dan mengapa pula hakim-hakim tertentu lain diberikan lanjutan secara automatik?” soalnya.

Lathhefa berkata, kebimbangan ini timbul kerana Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini mempamerkan rekod perkhidmatan yang cemerlang sepanjang enam tahun tempohnya.

“Tiada sebab untuk tidak melanjutkan perkhidmatan beliau. Paling penting, mengapa perdana menteri tidak bertindak atas syor yang dikemukakan oleh JAC?

“Kenyataan AGC hari ini hanya menambahkan kekeliruan. AGC adalah sebuah badan awam yang mesti melindungi kepentingan rakyat. Peranan mereka bukan untuk mempertahankan perdana menteri atau kerajaan semasa.

“Tanggungjawab mereka adalah untuk menegakkan kedaulatan undang-undang dan integriti institusi demi kepentingan rakyat,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS