Seorang pemimpin PKR hari ini tampil meminta Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad, supaya menilai semula pelaksanaan konsep ‘Satu Doktor, Satu Keluarga’ yang didakwa berpotensi menimbulkan beberapa masalah kritikal.
Ketua Cabang Hulu Selangor Dr Sathia Prakash Nadarajan berkata cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk melaksanakan semula konsep tersebut akan membebankan doktor untuk menguruskan kesihatan seluruh keluarga dalam jangka panjang terutamanya di kawasan padat penduduk.

"Tidak semua doktor mempunyai kepakaran dalam setiap bidang, sedangkan sebuah keluarga mungkin memerlukan penjagaan pelbagai jenis seperti pediatrik, geriatrik, kesihatan mental, atau kesihatan wanita.
"Sistem ini boleh mengehadkan akses pesakit kepada doktor yang lebih pakar," katanya kepada Malaysiakini.
Sebaliknya, Sathia yang juga pengasas Kumpulan SP Care mencadangkan agar kementerian lebih menumpukan usaha untuk memperkukuh infrastruktur penjagaan primer dan meningkatkan sistem rekod kesihatan digital bagi memastikan kesinambungan maklumat pesakit.
Katanya, kementerian perlu mengutamakan hubungan doktor-pesakit berdasarkan kepercayaan dan aksesibiliti, bukan paksaan. Selain pendekatan fleksibel dan berpusatkan pesakit lebih sesuai berbanding sistem yang kaku.
"Selain itu, isu masa tunggu pesakit yang panjang di hospital dan klinik awam adalah masalah kritikal yang mempengaruhi kualiti perkhidmatan kesihatan.
"Maka, saya minta KKM menyelesaikan isu asas sebelum ke peringkat seterusnya," katanya.

Sebelum ini, Dzulkefly dilaporkan menyarankan konsep ‘Satu Doktor, Satu Keluarga’ diperkenalkan semula bagi memastikan setiap keluarga di Malaysia mempunyai seorang doktor keluarga yang dikenali, dipercayai, dan mudah dihubungi.
Katanya, konsep ini merupakan langkah maju yang akan menjamin sektor kesihatan negara berada dalam keadaan mampan.
Tambahnya, KKM mensasarkan komitmen yang kukuh daripada institusi kekeluargaan sehingga akhirnya tercapai satu aspirasi ke arah ‘Satu Doktor, Satu Keluarga’.
Mengulas lanjut, Sathia berkata memberikan tanggungjawab kepada seorang doktor untuk menguruskan kesihatan seluruh keluarga berisiko menyebabkan keletihan dan penurunan kualiti perkhidmatan kesihatan.
"Pesakit sepatutnya mempunyai kebebasan memilih doktor berdasarkan keselesaan, kepercayaan, dan keperluan perubatan.
"Pelaksanaan sistem ini dikhuatiri mengekang autonomi pesakit. Bagaimana, sekiranya doktor yang ditetapkan bercuti, dipindahkan, atau berhenti kerja?" soalnya.
Katanya, perubahan ini boleh mengganggu kesinambungan penjagaan kesihatan dan menimbulkan kekeliruan.
Untuk rekod, konsep "Satu Doktor, Satu Keluarga" (One Doctor, One Family) adalah sebuah inisiatif kesihatan yang diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1993 di bawah KKM.

Konsep ini dicetuskan untuk mengatasi masalah kekurangan doktor di kawasan luar bandar dan memastikan setiap keluarga mempunyai akses kepada doktor tetap.
Bagaimanapun, program ini tidak berkembang secara meluas dan akhirnya tidak diteruskan sepenuhnya kerana beberapa faktor seperti, kekurangan doktor, beban kerja doktor dan perubahan dasar kesihatan.
