Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN terbuka untuk kaji semula undang-undang pengharaman buku
Diterbitkan:  Jul 9, 2025 9:11 AM
Dikemaskini: 1:12 AM

Sekumpulan pejuang hak penulis memberi bayangan wujud perkembangan positif ke arah cadangan semakan terhadap Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984, yang selama ini digunakan untuk mengharamkan dan merampas buku.

Presiden PEN Malaysia, Mahi Ramakrishnan, berkata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail membuat beberapa komitmen semasa pertemuan di kementerian itu di Putrajaya semalam, bersama wakil kumpulan sokongan dan beberapa pegawai kerajaan.

Mahi Ramakrishnan

“Saya mesti kata, mereka sangat terbuka menerima cadangan kami.

Menteri sendiri bersetuju bahawa memang ada beberapa semakan yang boleh dibuat terhadap prosedur sedia ada, terutama apabila mereka pergi ke kedai buku untuk merampas buku,” katanya kepada Malaysiakini.

Mahi berkata permintaan untuk perjumpaan itu dibuat susulan tindakan Kementerian Dalam Negeri merampas dua buku karya penulis tempatan Ismi Fa Ismail – “Jelik” dan “Jelik: 2” – pada 26 Jun lalu, atas alasan untuk “meneliti kandungannya”.

Penerbit buku tersebut, Fixi, mencadangkan di Facebook agar pegawai KDN diberi “duit poket” untuk membeli buku yang ingin dirampas, dan bukannya mengambil secara percuma.

Mahi berkata Saifuddin juga bersetuju untuk mengadakan pertemuan susulan selepas perbincangan awal itu.

“Menteri kata, ini tak boleh jadi pertemuan sekali sahaja, dan dia bersetuju dengan cadangan saya supaya ada perbincangan berterusan agar kita boleh terus cari jalan untuk melihat keseluruhan proses rampasan buku ini.

Dia kata, ‘Kamu mungkin ada tanggapan tertentu tentang bagaimana kementerian berfungsi, tapi tolak semua itu ke tepi dan datang berbincang dengan kami.’

Dia juga kata, ‘Kami alu-alukan perbincangan untuk lihat bagaimana kita boleh buat dengan lebih baik’ – dan secara jujurnya saya rasa itu satu sikap yang sangat positif,” tambahnya.

Walaupun menghargai komitmen Saifuddin, Mahi berkata PEN Malaysia tetap menegaskan tuntutan lebih besar, iaitu memansuhkan PPPA dan menggantikannya dengan kerangka kawal selia kendiri untuk penulis dan industri penerbitan.

Selain semakan prosedur, Mahi berkata PEN Malaysia dan kumpulan sokongan turut menggesa penjelasan terhadap istilah “kandungan haram”, yang sering digunakan untuk mengharamkan karya sastera.

“Ia sangat mengelirukan penulis, penjual buku, sebab kita tak tahu apa yang akan diharamkan,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri sebelum ini menangguhkan rancangan untuk membentangkan pindaan terhadap PPPA pada Disember lalu, berikutan bantahan kumpulan-kumpulan yang memperjuangkan hak wartawan dan pekerja media, yang bimbang kononnya wujud rancangan untuk meluaskan kawalan terhadap media dalam talian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS