Yang Dipertua PAS Kawasan Sungai Buloh, Zaharudin Muhammad, akhirnya berjaya menyerahkan sendiri surat tuntutan (LOD) kepada Menteri Sumber Manusia, Steven Sim, semalam.
Cubaan kali pertama Zaharuddin untuk menyerahkan LOD tersebut kepada Sim pada minggu lalu tidak berjaya susulan pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu tutup kerana ada kematian.
“Semalam saya telah serah by hand (dengan tangan) surat saman fitnah (LOD) kepada pegawai khas Steven Sim di atas dua fitnah, hina Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan rasis.
“Surat diserahkan pada 8 Julai 2025 dan dia diberi tempoh tujuh hari untuk mohon maaf atau berdepan tindakan mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Terdahulu Malaysiakini melaporkan Zaharudin memulakan tindakan undang-undangnya terhadap Sim berhubung dakwaan dia difitnah oleh pemimpin DAP berkenaan.
Menurut satu video pendek yang dimuat naik di akaun Facebooknya, menantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang itu menuntut permohonan maaf daripada Sim kerana menuduhnya menghina pegawai ATM baru-baru ini.
Video itu dirakam ketika Zaharudin berkunjung ke pusat khidmat Sim di Bukit Mertajam, Pulau Pinang untuk menyerahkan LOD berkenaan buat kali pertama pada minggu lepas.
Bagaimanapun, pejabat pusat khidmat Sim ditutup dan Zaharudin gagal menyerahkan surat berkenaan kepada pegawainya.
Untuk jadi panduan, teladan
Sebelum ini Zaharudin menarik perhatian ramai dengan hantaran mengenai kemungkinan satu hari nanti orang Cina menjadi perdana menteri di negara ini.
Mengiringi hantaran tersebut – sebagai “gambar hiasan” – ialah majlis pemakaian pingat leftenan jeneral kepada pegawai kanan ATM, Johnny Lim Eng Seng.
Lim menjadi anggota ATM pertama dalam kalangan orang Cina diberikan pangkat tersebut.
Susulan itu Sim turut menyatakan kesediaan untuk berdepan tindakan undang-undang daripada pemimpin PAS itu.
Sementara itu Zaharudin berharap tindakannya itu akan menemukan "kebenaran."

Dia turut mengucapkan terima kasih kepada pegawai khas Sim, Rosly Yusof yang menerima LOD bagi pihak Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkenaan.
“Terima kasih juga sahabat-sahabat Pemuda PAS Pulau Pinang yang iringi saya.
“Semoga kita semua menemui kebenaran dan menjadikannya panduan dan teladan,” katanya lagi.
Sementara itu Rosly berkata pertemuannya dengan rombongan Zaharudin semalan berlangsung di pusat khidmat berkenaan dalam suasana mesra.
Bahkan rombongan tersebut turut dijamu dengan mi goreng yang terkenal di Bukit Mertajam, iaitu Mi Pak Sharif.
“Kunjungan kali kedua ini berlangsung dalam suasana mesra selepas kunjungan pertama pada Khamis lalu pejabat pusat khidmat di tutup sehari kerana semua staf menghadiri majlis perkebumian datuk YB Steven (Sim).
“Saya telah oder khas mi goreng lajen Bukit Mertajam, mi Pak Sharif untuk saudara Zaharudin yang datang jauh dari Selangor dan rakan-rakannya,” katanya di Facebook.
