Dikemas kini dengan berita penuh.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) mengakui rundingan kadar tarif dengan Amerika Syarikat (AS) sememangnya rumit.
“Rundingan sememangnya rumit dan tentu sekali memerlukan sedikit pengorbanan,” kata menterinya Tengku Zafrul Abdul Aziz.
“Namun matlamat kami tetap jelas untuk memastikan akses pasaran eksport kita, memodenkan ekonomi kita dan melindungi mata pencarian Malaysia untuk jangka waktu panjang.
Katanya, dalam tempoh itu Miti melaksanakan sesi terlibat urus dengan pelbagai kementerian dan agensi untuk mendapatkan maklum balas dan persetujuan mereka.
Sesi itu melibatkan pelbagai perkara termasuk produk perindustrian, produk pertanian dan perdagangan digital.
Zafrul berkata demikian dalam sidang media khas berkenaan kadar tarif balas terkini yang dikenakan Amerika Syarikat (AS) ke atas eksport Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini.
AS mengenakan tarif lebih tinggi 25 peratus ke atas sebarang dan semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu, berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.
Angka itu satu peratus lebih tinggi berbanding tarif yang diumumkan pada April.

Bagaimanapun, Zafrul menegaskan bahawa rundingan berhubung tarif timbal balas sebanyak 25 peratus yang dikenakan AS tidak boleh dianggap gagal.
Menurutnya proses perbincangan dan libat urus masih berjalan secara konstruktif.
Katanya, ia juga bukan berkaitan kegagalan rundingan atau krisis yang dihadapi Malaysia mahupun dunia, tetapi merupakan sebahagian daripada dinamika perdagangan global semasa.
“Dalam semua rundingan, mesyuarat dan platform antarabangsa, Malaysia terus menyuarakan sokongan terhadap prinsip multilateralisme dan sistem perdagangan berasaskan peraturan, dengan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) sebagai teras utama,” katanya.
Dalam masa sama, Tengku Zafrul menyatakan keyakinan bahawa rundingan perdagangan yang sedang berlangsung masih berada di landasan yang positif.
Jelasnya, dia turut mengakui beberapa isu kecil yang boleh diselesaikan dengan mudah.
“Jika diberi pilihan 50-50, saya lebih cenderung kepada lebih 50 peratus kemungkinan untuk kita mencapai kesepakatan," katanya.
Garis merah
Zafrul juga menegaskan terdapat beberapa “garis merah” yang tidak akan dikompromi dalam rundingan melibatkan tarif timbal balas yang dikenakan oleh AS terhadap Malaysia.
Zafrul berkata, sebarang rundingan yang berlangsung tidak akan sesekali menggadai kedaulatan dan menjejaskan kepentingan negara.
“Kami telah membincangkan mengenai keupayaan kami untuk mengenakan cukai, termasuk cukai digital, dan itu merupakan garis merah bagi kami. Kami merasakan bahawa ia adalah hak kedaulatan kami.
“Isu berkaitan undang-undang, termasuk undang-undang jenayah berkaitan e-dagang digital yang baru-baru ini diluluskan oleh Parlimen juga merupakan antara perkara yang dibangkitkan.
“Begitu juga dengan isu perolehan kerajaan, keupayaan kerajaan untuk membuat perolehan mengikut dasar perolehan semasa. Ini adalah isu-isu yang kami anggap penting dan kami pertahankan,” katanya.
Tambahnya lagi, dalam tempoh 90 hari rundingan dijalankan, Malaysia telah mengadakan lebih 25 sesi libat urus bersama rakan sejawat dari AS.
Sementara itu diminta mengulas mengenai tambahan cukai sebanyak 10 peratus kepada negara yang menyokong Brics pula, Zafrul menjelaskan ia hanya kenyataan yang dibuat oleh Trump.
“Ada yang mengatakan 25 peratus campur 10 peratus tetapi sebenarnya hanya 25 peratus sahaja.
“Itu kenyataan yang dibuat oleh Trump dan tidak kenyataan setakat ini,” tambahnya.
