Southern Alliance Mining Ltd dengan tegas menafikan dakwaan yang mengaitkan pengarah urusannya, Pek Kok Sam dengan skandal rasuah Sabah.
Penafian itu susulan laporan SPRM sedang menyiasat seorang taikun dari Singapura yang didakwa mempunyai kaitan dengan pemberi maklumat skandal berkenaan, Albert Tei.
Sebagai respons, Pek berkata Southern Alliance Mining Ltd dan anak-anak syarikatnya - dirujuk sebagai “kumpulan” - telah mengeluarkan surat tuntutan kepada Malaysia Corporate, laman yang menyiarkan dakwaan mengaitkan dirinya dengan skandal berkenaan.
Kumpulan tersebut juga telah membuat laporan polis terhadap laman tersebut.
"Kumpulan dan Pek secara kolektif dengan tegas menafikan dan menyangkal dakwaan yang dibuat, yang sangat berunsur fitnah serta tidak berasaskan fakta," kata Pek dalam kenyataan bertarikh 4 Julai yang dimuat naik di laman web syarikat itu.
Dia berkata, kumpulan syarikat itu telah melantik peguam untuk langkah seterusnya.

Pada 2 Julai lalu, SPRM berkata ia sedang menyiasat Pek susulan satu artikel dilaporkan menggambarkannya sebagai individu yang membiayai Tei untuk memberi suapan kepada pemimpin-pemimpin Umno Sabah.
Sejak November lalu, Tei telah mendedahkan sejumlah video, dokumen dan tangkap layar mesej WhatsApp kepada SPRM, yang didakwa mengaitkan sejumlah Adun negeri itu dalam skandal lesen pelombongan.
Ahli perniagaan itu mendakwa dia memberi rasuah kepada Adun-Adun berkenaan sebagai balasan untuk mendapatkan lesen penerokaan mineral.
‘Urus niaga sah’
Mengulas lanjut, Pek berkata kumpulan tersebut menyedari bahawa kerajaan Sabah mengeluarkan beberapa lesen penerokaan pada 2022, yang menarik minat mereka untuk meneroka mineral di negeri tersebut sebagai sebahagian daripada usaha mempelbagaikan portfolio syarikat.
Kumpulan itu kemudiannya menjalinkan usaha sama dengan syarikat tempatan, Teguh Permata Sdn Bhd (TPSB) dan Bumi Kinabalu Resources Sdn Bhd (BKRSB), yang mana kedua-duanya telah pun memiliki lesen penerokaan tersebut, katanya.
Katanya lagi, urus niaga itu dijalankan secara sah, dipaparkan sepenuhnya dalam penyata kewangan syarikat, dan dilaksanakan dengan bantuan peguam.
“Bayaran balasan bagi pengambilalihan syarikat-syarikat ini oleh syarikat (kami) telah dibuat secara terus kepada pihak penganjur syarikat-syarikat berkenaan.”
“Ia bertentangan dengan dakwaan yang dibuat oleh artikel itu,” katanya.
Dia turut menegaskan bahawa Tei tiada sebarang peranan dalam mana-mana syarikat yang terlibat.
"Pihak kumpulan dan Pek ingin mengulangi bahawa tiada pembiayaan diberikan kepada mana-mana pihak bagi tujuan mendapatkan lesen mineral melalui rasuah politik dan/atau sogokan bagi sebarang projek, sama ada oleh kumpulan mahupun Pek," katanya lagi.
Beliau berkata dia komited untuk memaklumkan sebarang perkembangan kepada lembaga pengarah syarikat, dan bahawa lembaga akan memantau keadaan tersebut secara rapat.
Pada 30 Jun lalu, Teididakwa di mahkamah atas pertuduhan memberi rasuah kepada Timbalan Menteri Pembangunan Industri dan Keusahawanan Sabah, Andi Suryady Bandy dan Adun Sindumin, Yusof Yacob, bagi mendapatkan bantuan dalam permohonan lesen penerokaan mineral.
Andi didakwa menerima RM150,000 secara tunai daripada Tei sebagai balasan untuk memudahkan permohonan lesen penerokaan bagi Syarikat Sinaran Hayat Sdn Bhd.
Yusof pula didakwa menerima RM200,000 secara tunai daripada Tei sebagai sogokan yang didakwa bertujuan untuk membantu memproses lesen penerokaan bagi Syarikat Nusa Kini Sdn Bhd.
Ketiga-tiganya mengaku tidak bersalah.
