Badan Peguam Malaysia menegaskan Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman (Walk to Safeguard Judicial Independence) anjurannya bertujuan menyuarakan kebimbangan serius terhadap keadaan badan kehakiman di negara ini dan bukan untuk mempertahankan mana-mana hakim secara individu.
Presidennya Mohamad Ezri Abdul Wahab turut menegur beberapa laporan media yang menurutnya telah memberikan gambaran tidak tepat dengan melabelkan perarakan itu sebagai demonstrasi membantah keputusan kerajaan yang tidak menyambung perkhidmatan bekas ketua hakim negara dan presiden mahkamah rayuan.
“Perarakan ini bukan mengenai individu; ia adalah satu pendirian untuk mempertahankan integriti institusi. Sebarang percubaan untuk menafsirkannya secara sebaliknya adalah mengelirukan dan menjejaskan pendirian Majlis Peguam,” katanya pada satu kenyataan hari ini.
Dia menekankan acara itu sebagai kenyataan kolektif daripada pengamal undang-undang berhubung komitmen mereka untuk menegakkan kebebasan kehakiman, Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.
Tetapi dia berkata bahawa perarakan itu bukan sahaja untuk peguam kerana sesiapa sahaja dari kehakiman atau orang awam boleh mengambil bahagian.
Semalam, Ezri berkata perarakan itu - yang dijadualkan pada 14 Julai - akan menyaksikan Badan Peguam menyerahkan memorandum dengan empat tuntutan kepada Pejabat Perdana Menteri.
Tuntutan itu termasuk: mengisi kekosongan jawatan tertinggi kehakiman, mendedahkan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini, membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat campur tangan kehakiman, dan menangani kekosongan keseluruhan kehakiman.
Ini berlaku di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat berhubung dakwaan baru-baru ini mengenai campur tangan dalam pelantikan kehakiman dan kekosongan jawatan yang tidak dapat diselesaikan berikutan persaraan hakim kanan baru-baru ini.
