Kabinet telah membincangkan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan sambil menegaskan bahawa pelantikan tersebut akan dilaksanakan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, berkata kerajaan sedar sepenuhnya akan kebimbangan orang awam berhubung perkara tersebut.
“Pada masa yang sama, berikutan kekosongan jawatan Ketua Hakim Negara, Hakim Besar Malaya, Yang Amat Arif Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, menjalankan kuasa atau melaksanakan tugas jawatan Ketua Hakim Negara (termasuk fungsinya di bawah Perlembagaan Persekutuan) sehingga jawatan tersebut diisi. Ini selaras dengan Perkara 131A Perlembagaan Persekutuan dan perenggan 9(1)(b) serta subseksyen 9(3) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 [Akta 91].
"Ini bagi memastikan kelangsungan pentadbiran keadilan negara. Kerajaan MADANI kekal komited untuk terus memperkukuh keyakinan awam terhadap institusi kehakiman termasuk dengan meneliti langkah-langkah penambahbaikan jangka panjang ke arah meningkatkan ketelusan dan kebebasan badan kehakiman.
"Kerajaan juga ingin menyeru agar semua pihak memberi ruang agar proses yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dapat berjalan dengan lancar dan sewajarnya demi kepentingan negara, kedaulatan undang-undang dan kestabilan institusi,” katanya pada satu kenyataan ringkas hari ini.
Kebimbangan orang awam mula tercetus berhubung isu pelantikan hakim selepas sembilan ahli parlimen PKR mengeluarkan kenyataan bersama menyeru agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan terkini yang berkaitan fungsi Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK).
Wakil rakyat PKR itu juga bimbang satu lagi skandal pelantikan kehakiman mungkin sedang berlaku berdasarkan dakwaan bahasa kerajaan tidak mengambil tindakan terhadap senarai calon yang dicadangkan oleh SPK, yang telah dikemukakan sebelum persaraan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai Ketua Hakim Negara.
Mereka bimbang terhadap dakwaan SPK telah dipanggil untuk menghadiri satu mesyuarat tergempar tanpa mematuhi peraturan notis 10 hari bagi tujuan mencalonkan nama-nama baru untuk mengisi kekosongan jawatan berkenaan.
Dakwaan bahawa SPK sebelum ini pernah menyoal seorang hakim Mahkamah Persekutuan berhubung dakwaan campur tangan kehakiman juga mencetuskan kebimbangan.
Perkembangan ini telah mendorong pelbagai pihak menyokong gesaan penubuhan RCI.
Anggota pembangkang juga telah menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mengambil cuti sementara semasa siasatan RCI dijalankan.
