Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata keputusan menutup operasi YWP Media yang merupakan penerbit warta mingguan dan portal dalam talianWilayahku adalah keputusan perniagaan.
Menafikan keputusan itu dibuat kerana kegagalan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melunaskan bayaran, Zaliha berkata YWP Media adalah anak syarikat di bawah Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan keputusan penutupannya diputuskan oleh Lembaga Pengarah selepas perbincangan terperinci.
"Kita dengar pelbagai isu kebelakangan ini, termasuk hal kewangan dan selepas dibincang di peringkat lembaga, ia diputuskan sebagai satu 'business decision' untuk menghentikan operasinya.
"Semalam pun kita sudah nyatakan dan lantik Ketua Pegawai Eksekutif baru dan pertanggungjawaban itu akan dilaksanakan dengan sebaik mungkin," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Zaliha mengulas dakwaan syarikat itu ditutup kerana DBKL gagal melunaskan bayaran.
Tambah Zaliha, semua bayaran dibuat mengikut perkembangan kerja yang disiapkan, selaras dengan perjanjian yang dimeterai antara kedua-dua pihak.
"Sudah tentunya DBKL akan membayar mengikut proses kerja yang dilaksanakan, jadi bagi saya kalau kerja itu tak siap, maka sudah tentu menjadi tanggungjawab DBKL untuk tidak membayarnya sehinggalah kerja-kerja yang dinyatakan itu diselesaikan," katanya.
Zaliha menyifatkan tuduhan terhadap DBKL sebagai tidak adil kerana keputusan itu membabitkan pelbagai aspek dalaman YWP yang turut menjadi faktor dalam memastikan keseluruhan kebajikan entiti di bawahnya.
Akhbar Wilayahku yang bernaung di bawah YWP Media sejak Januari 2019 mengumumkan penutupan operasi berkuat kuasa serta merta pada 1 Julai lalu.
Sebelum ini, media melaporkan, Pengerusi YWP Media Afdlin Shauki, mengesahkan penutupan operasi syarikat berkenaan disebabkan oleh tekanan kewangan yang dianggap 'kritikal'.
Afdlin turut mendakwa bahawa antara punca utama adalah bayaran tertunggak daripada DBKL yang membabitkan kontrak sedia ada.
