Paling Popular
Terkini

PAS mengesahkan penyertaan mereka dalam Perarakan Demi Mempertahankan Kebebasan Kehakiman (Walk to Safeguard Judicial Independence) yang dijadualkan berlangsung pada Isnin hadapan di Putrajaya.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

“Ya PAS akan turut serta, terutama para Peguam PAS,” katanya ringkas melalui Aplikasi WhatsApp.

Perarakan anjuran Badan Peguam Malaysia itu akan bermula di Istana Kehakiman dan berakhir di Pejabat Perdana Menteri (PMO). Objektif utama perarakan tersebut untuk menyerahkan memorandum penting yang mendesak agar tindakan segera diambil bagi mempertahankan kebebasan institusi kehakiman negara.

Badan Peguam Malaysia sebelum ini menegaskan perarakan tersebut bukan bertujuan mempertahankan mana-mana hakim secara individu, sebaliknya untuk menyuarakan kebimbangan yang semakin serius terhadap keadaan institusi kehakiman negara.

Semalam, Presidennya Mohamad Ezri Abdul Wahab mengulas berkenaan beberapa laporan media yang didakwa memberi gambaran tidak tepat, apabila melabelkan perarakan itu sebagai demonstrasi membantah keputusan kerajaan tidak menyambung perkhidmatan bekas Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

“Perarakan ini bukan mengenai individu, ia adalah satu pendirian untuk mempertahankan integriti institusi.

“Sebarang percubaan untuk menafsirkannya secara sebaliknya adalah mengelirukan dan menjejaskan pendirian Badan Peguam,” katanya dalam satu kenyataan.

Hari ini, Malaysiakini turut melaporkan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyatakan komitmen dan solidariti mereka untuk turut serta dalam perarakan berkenaan.

🔗 [https://www.malaysiakini.com/news/748585](https://www.malaysiakini.com/news/748585)

Sebelum ini, Ezri turut menjelaskan perarakan tersebut merupakan maklum balas kepada kebimbangan masyarakat berhubung kekosongan jawatan penting dalam institusi kehakiman, kelewatan pelantikan serta dakwaan campur tangan dalam urusan pelantikan dan keputusan kehakiman.

Menurut Ezri, memorandum yang akan diserahkan kepada PMO mengandungi empat tuntutan utama. Antaranya:

Pelantikan segera ke jawatan tertinggi kehakiman;

Calon mestilah individu yang mempunyai integriti, pengalaman serta rekod penghakiman cemerlang;

Individu tersebut mestilah dihormati oleh komuniti kehakiman dan rakyat secara keseluruhannya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS