Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Mulai 1 Julai ini kerajaan melaksanakan pelarasan kepada sistem cukai jualan dan perkhidmatan (SST) melalui pendekatan lebih bersasar. Langkah itu bertujuan menambah baik kedudukan kewangan negara tanpa membebankan rakyat secara tidak wajar.

Melalui sistem baru itu, kadar cukai ditetapkan mengikut jenis barangan dan perkhidmatan.

Barangan keperluan asas seperti makanan harian, bahan binaan utama dan input pertanian kekal tanpa cukai. Sebaliknya, barangan bukan asas dan barangan mewah dikenakan cukai pada kadar sederhana.

Walaupun langkah tersebut menerima pelbagai reaksi – termasuk kebimbangan terhadap kenaikan harga – kerajaan menegaskan bahawa golongan berpendapatan rendah tidak akan terjejas.

Perubahan dibuat berdasarkan keperluan mendesak untuk mengimbangi semula kedudukan fiskal negara. Perbelanjaan kerajaan terus meningkat disebabkan oleh keperluan menyediakan kemudahan kesihatan, pendidikan, subsidi dan infrastruktur.

Namun, pendapatan negara melalui cukai belum mencukupi untuk menampung keperluan ini. Tanpa tindakan yang bersesuaian, negara berisiko terus bergantung kepada pinjaman – suatu langkah yang tidak mampan dalam jangka masa panjang.

Menteri Kewangan II, Amir Hamzah Azizan, menyatakan bahawa perlu ada reformasi fiskal yang tegas – namun adil – dilaksanakan oleh negara. Dia menegaskan bahawa barangan asas tidak dikenakan cukai bagi memastikan rakyat, terutamanya golongan B40, tidak terbeban.

Tambahan pula, cukai hanya dikenakan kepada barangan pilihan dan mewah yang lazimnya dibeli oleh golongan berkemampuan.

Ada suara kebimbangan rakyat

Pakar-pakar ekonomi dan percukaian dari firma seperti PwC, KPMG dan Deloitte menyokong pendekatan tersebut kerana ia lebih bersasar dan praktikal berbanding sistem terdahulu.

Mereka melihat pelaksanaan SST kini sebagai satu cara untuk mengukuhkan asas ekonomi negara tanpa menjejaskan keperluan asas rakyat.

Namun begitu, pelaksanaannya turut menimbulkan kebimbangan. Sebahagian perniagaan kecil dan sederhana (PKS) menyuarakan keperluan kepada garis panduan yang lebih jelas.

Masih terdapat kekeliruan dalam kalangan peniaga dan pengguna mengenai jenis barangan atau perkhidmatan yang dikenakan cukai.

Contohnya, timbul persoalan sama ada semua buah dikenakan cukai atau hanya buah import. Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah memberi jaminan bahawa penjelasan terperinci akan diberikan agar tidak timbul kekeliruan di peringkat pelaksanaan.

Selain itu, rakyat juga menyuarakan kebimbangan tentang kemungkinan kenaikan harga akibat cukai semasa.

Kerajaan perlu memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan menaikkan harga secara melampau dengan alasan cukai. Pemantauan yang tegas perlu dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi melindungi pengguna daripada sebarang bentuk penganiayaan.

Pada masa yang sama, rakyat mahu tahu ke mana hasil kutipan cukai disalurkan.

Ketelusan dalam perbelanjaan hasil cukai akan membantu membina kepercayaan rakyat.

Sekiranya rakyat melihat hasil cukai digunakan untuk memperbaiki sistem pendidikan, kesihatan dan prasarana, sudah tentu mereka akan lebih bersedia untuk menerima dasar kerajaan.

Pelaksanaan SST bersasar ini bukan satu keputusan yang mudah. Namun dalam keadaan ekonomi semasa, ia adalah langkah yang perlu dan bertanggungjawab.

Ia menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menyelesaikan masalah asas ekonomi negara tanpa membebankan rakyat yang paling terkesan.

Sekiranya dilaksanakan dengan baik, sistem cukai ini boleh menjadi instrumen penting untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan. Apa yang penting ialah pelaksanaan yang telus, penguatkuasaan yang adil dan komunikasi yang jelas.

Dengan pendekatan tersebut, rakyat akan memahami bahawa cukai ini bukan satu beban, tetapi satu pelaburan untuk masa depan negara.


MAHATHIR MOHD RAIS ialah bekas setiausaha Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS