Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful persoal ketiadaan majlis rasmi rai Dr M oleh kerajaan
Diterbitkan:  Jul 11, 2025 5:25 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Seorang ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) hari ini mempersoalkan ketiadaan acara rasmi oleh kerajaan bagi meraikan ulang tahun ke-100 bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya hari ini, Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan berkata ucapan hari lahir peribadi daripada pemimpin kerajaan saja tidak mencukupi.

"Saya menghadiri majlis doa selamat dan kesyukuran buat dua insan ini malam tadi, di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara. Alhamdulillah penuh masjid dengan hadirin yang mahu sama-sama meraikan hati gembira dan bersejarah.

"Bagaimanapun saya tertanya-tanya kenapa tiada acara rasmi anjuran negara untuk meraikan tarikh yang begitu bermakna buat seorang negarawan.

"Yang ada hanya ucapan-ucapan peribadi daripada pemimpin kerajaan. Bagi saya ini tidak cukup. Tak kira kawan atau lawan, tiada siapa boleh menafikan bahawa Tun Mahathir adalah negarawan," katanya.

"Sepatutnya ada majlis rasmi yang tak perlu besar-besaran pun anjuran kerajaan bagi pasangan suami isteri lagenda ini. Biar kecil tak apa, asalkan ada," tambah Wan Saiful.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebelum ini mengucapkan selamat hari lahir ke-100 kepada Mahathir semalam, yang meraih perhatian ramai kerana sejarah perseteruan kedua-dua ahli politik itu.

Anwar berkata dia dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail berdoa agar Mahathir dikurniakan kesihatan, keamanan dan kekuatan fizikal untuk terus menjalani kehidupan yang bermakna.

Dilahirkan pada 10 Julai 1925, Mahathir adalah satu-satunya ahli politik yang pernah memegang jawatan eksekutif tertinggi negara dua kali dan juga memegang rekod sebagai perdana menteri tertua di dunia apabila dipilih semula pada Mei 2018.

Dia juga merupakan perdana menteri Malaysia paling lama berkhidmat setakat ini, dengan perkhidmatan pertamanya selama 22 tahun bermula pada 1981 sebelum meletak jawatan pada 2003.

Bagaimanapun, nasib politiknya merosot semasa kali kedua menjadi perdana menteri dari 2018 hingga 2020, selepas dia digulingkan berikutan rampasan kuasa politik yang dilakukan oleh Bersatu, parti yang diterajuinya ketika itu.

Pada pilihan raya umum 2022, Mahathir kehilangan deposit pilihan raya selepas gagal mempertahankan parlimen Langkawi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS