Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad menggesa Malaysia memanfaatkan hubungan ekonomi dengan China, khususnya sebagai tindak balas terhadap kenaikan tarif oleh pentadbiran Donald Trump.
Dalam satu temu bual dengan Bloomberg, Mahathir mengakui bahawa meskipun tarif tersebut akan memberi kesan negatif kepada seluruh dunia, dia percaya rakyat Amerika akan turut terkesan, memandangkan banyak syarikat Amerika beroperasi di luar negara kerana kos lebih rendah.
“Tetapi seluruh dunia tidak mengenakan tarif tinggi, jadi kita seharusnya meningkatkan perdagangan dengan mereka – contohnya dengan China. Sejauh mana yang boleh, kita boleh mengurangkan kesan tarif tinggi Trump dengan mengelakkan Amerika,” katanya dalam temu bual tersebut.
Pada 8 Julai lalu, Amerika Syarikat mengumumkan tarif sebanyak 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu berkuat kuasa 1 Ogos, berasingan daripada tarif sektoral sedia ada.
Ini merupakan satu peratus lebih tinggi berbanding tarif yang diumumkan pada April lalu.
Dalam sidang media sehari kemudian, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengakui bahawa rundingan tarif dengan AS adalah rumit.
Zafrul menegaskan bahawa rundingan itu tidak seharusnya dilihat sebagai satu kegagalan, kerana perbincangan dan libat urus masih berjalan secara konstruktif.
Ditanya sama ada Malaysia patut mengambil pendirian lebih tegas terhadap China dalam isu Laut China Selatan, Mahathir menjawab bahawa walaupun Malaysia tidak menerima tuntutan China ke atas wilayah yang dipertikaikan, negara itu juga "tidak mengambil sebarang tindakan untuk menunjukkan perairan itu milik mereka," dan tidak mengenakan sekatan atau menghalang kapal daripada melalui kawasan tersebut.

Ketika ditanya mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan pada 1971, bekas perdana menteri itu turut berkata bahawa Malaysia belajar daripada Amerika, kerana negara itu yang mula-mula memperkenalkan tindakan afirmatif.
“Kita belajar daripada Amerika. Amerika yang pertama memperkenalkan tindakan afirmatif berasaskan kaum.
"Apabila mana-mana dasar diperkenalkan, pasti ada yang tidak puas hati. (Namun) Sangat sedikit yang meninggalkan Malaysia. Bahkan yang berhijrah ke negara lain pun masih mengekalkan kewarganegaraan Malaysia kerana mereka mahu kembali,” katanya.
Mahathir berkata tindakan afirmatif untuk Bumiputera masih relevan kerana wujud jurang ekonomi antara Melayu dan Cina.
“Pada tahun 1969, berlaku rusuhan kaum kerana orang Melayu umumnya miskin. Selepas merdeka, orang Cina menjadi kaya dan secara politik pula, dominasi Melayu semakin terhakis.
“Oleh sebab itu, kami merasakan perlunya untuk mengurangkan jurang antara yang kaya dan miskin dalam kalangan Melayu dan Cina. Itulah sebabnya kami memperkenalkan tindakan afirmatif,” katanya.
