Bekas presiden Badan Peguam Malaysia Ambiga Sreenevasan mengkritik tanggapan bahawa nasib Ketua Hakim Negara harus bergantung pada sama ada perdana menteri tersinggung dengan kenyataan mereka atau tidak.
Ambiga memberi amaran bahawa tanggapan sedemikian berbahaya kepada kebebasan kehakiman.
Dia menjawab soalan bekas menteri undang-undang Nazri Abdul Aziz, yang mengaitkan keputusan tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas ketua hakim negara Tengku Maimun Tuan Mat dengan ucapannya di Malta pada April ketika menggesa penyingkiran peranan perdana menteri dalam pelantikan kehakiman.
"Pertamanya, komen Tengku Maimun di Malta bukanlah bersifat peribadi. Ia adalah mengenai cara mengukuhkan kebebasan badan kehakiman dengan mengurangkan peranan eksekutif (dan seterusnya perdana menteri) dalam proses itu.
“Ini sentiasa menjadi pendirian Badan Peguam, dan dalam demokrasi matang, ini adalah bagaimana ia dilakukan. Malah di Malaysia, pelbagai pihak yang dihormati telah berkongsi pandangan ini.
"Jadi ada apa dengan alasan sensitiviti? Seperti yang telah dikatakan, walaupun ia diambil secara peribadi, menyinggung perasaan perdana menteri bukanlah alasan untuk tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan ketua hakim negara," kata Ambiga (gambar atas) kepada Malaysiakini.
Ambiga memuji ucapan Tengku Maimun di Malta, menyifatkannya sebagai berani dan berprinsip dalam mempertahankan kebebasan kehakiman.
"Mengatakan apa yang perlu diperkatakan. Tidak sekali pun dia melangkau batas atau terpengaruh dengan kritikan peribadi. Dia pada setiap masa bersikap penuh hormat tanpa sekali pun mengorbankan maruah atau kebebasan badan kehakiman," tambahnya.
Sebagai tindak balas kepada dakwaan Nazri bahawa kenyataan Tengku Maimun boleh menjejaskan usaha Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menarik pelaburan asing, Ambiga menolak hujah itu sebagai tersasar.
“Pihak kehakiman yang kuat, berpengetahuan dan bebas menarik lebih banyak pelaburan. Bukan yang pengecut, tunduk kepada kerajaan dan takut mengguris perasaan mereka yang berkuasa.
“Oleh itu, kita patut memuji Tengku Maimun atas keberaniannya, bukan menghukumnya.
"Bagi kita yang pernah melalui krisis (kehakiman) 1988 dan (skandal VK) Lingam, kita takut bahawa ini adalah jalan ke belakang yang kita ambil sekarang. Dari pengalaman, jika badan kehakiman lumpuh, ia akan mengambil masa 20 hingga 30 tahun untuk diperbaiki. Adakah itu yang kita mahukan?" soalnya.
Ambiga juga mempersoalkan logik di sebalik keputusan itu, menyorot kekurangan penjelasan untuk tidak melanjutkan tempoh perkhidmatan bekas presiden Mahkamah Rayuan Abang Iskandar Abang Hashim.
"Ini menimbulkan persepsi bahawa mungkin mereka berdua 'terlalu bebas'," tambahnya.
