Kerajaan mengecualikan lima sektor penjagaan kesihatan daripada bekerja 45 jam seminggu.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata jururawat, jururawat masyarakat, pegawai perubatan di jabatan kecemasan, penolong pegawai perubatan dan pembantu perawatan kesihatan akan terus bekerja 42 jam seminggu.
Pengecualian ini akan melibatkan 82,637 pekerja kesihatan.
"Kerajaan mengambil maklum dan prihatin terhadap kebimbangan yang disuarakan petugas kesihatan berhubung pelaksanaan waktu bekerja syif 45 jam seminggu di bawah Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
"Setelah meneliti secara mendalam keperluan operasi dan hakikat tugas kritikal yang dijalankan oleh petugas kesihatan yang terlibat secara langsung dalam menyelamatkan nyawa pesakit dari katil ke katil tanpa mengira masa, kerajaan melihat tanggungjawab sedemikian menuntut tahap kesiapsiagaan fizikal, mental dan emosi yang luar biasa," katanya.
Pada 13 Mei lalu, Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad mengumumkan pelanjutan moratorium berkaitan pelaksanaan 45 jam seminggu bekerja untuk jururawat.
Ini bagi membolehkan Kementerian Kesihatan meneliti dan memahami isu berkenaan sebelum mengemukakan cadangan kepada kabinet pada 1 Julai.
Pada Februari, Dzulkefly memberitahu Dewan Rakyat bahawa lebih banyak masa diperlukan dalam tempoh interim tiga bulan sebelum pelaksanaan dasar baru itu.
Arahan itu sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Dis tahun lepas, bagaimanapun, JPA memberikan tempoh interim selama tiga bulan, yang dilanjutkan.
Mengulas perkembangan terbaru itu, senator Dr RA Lingeshwaran mengalu-alukan pengumuman kerajaan untuk mengecualikan pekerja penjagaan kesihatan tertentu.
"Ini adalah satu pengiktirafan yang besar terhadap pengorbanan, kepayahan dan kecekalan para petugas kesihatan kita yang bertugas siang dan malam demi menyelamatkan nyawa tanpa mengira masa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dia mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menentang pelaksanaan dasar itu, sambil menambah harapannya agar ia akan menjadi permulaan kepada lebih banyak langkah yang menghargai penjawat awam.
Dia seterusnya berkata pengumuman itu mencerminkan nilai kemanusiaan kerajaan Madani.
Beberapa kumpulan pekerja penjagaan kesihatan menyelar dasar 45 jam seminggu bekerja, menyatakan kepercayaan mereka bahawa ia harus dimansuhkan kerana kebimbangan pada kesan negatif terhadap jururawat yang terlebih beban.
Ahli parlimen pembangkang turut mengkritik dasar itu, dengan Ahli Parlimen Temerloh Salamiah Mohd Nor mempersoalkan mengapa Kementerian Kesihatan memperhalusi dasar itu selepas arahan berkenaan dikeluarkan.
Sebelum ini, portal kesihatan CodeBlue melaporkan bahawa 45 jam seminggu bekerja untuk jururawat lebih lama daripada Singapura (minimum 38 jam hingga maksimum 42 jam), Indonesia (40 jam), dan Perkhidmatan Kesihatan Nasional United Kingdom dengan 38.5 jam.
