Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar, menyelar sikap tidak konsisten PAS dalam isu Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang menurutnya mencerminkan kekeliruan parti itu terhadap peranan dasar monetari dalam membantu rakyat dan merangsang ekonomi.
Katanya, PAS hanya mengulang retorik “harga barang naik” dan kos sara hidup meningkat, tanpa parti itu sendiri mengemukakan pelan tindakan konkrit.
“Zaman mereka dalam kerajaan, inflasi tetap berlaku. Bila mereka gagal kawal harga ayam dan minyak, mereka salahkan orang lain juga.
"Sebenarnya, PAS hanya mahu burukkan apa saja yang kerajaan Madani buat. OPR turun — mereka bising. OPR naik — mereka bising. Subsidi disasar — mereka bantah. Subsidi pukal — mereka kata tak cukup. Naik salah, turun salah. Jadi PAS serba salah," katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Ahmad Dullah berkata penurunan OPR sebanyak 25 mata asas daripada 3 peratus kepada 2.75 peratus oleh Bank Negara Malaysia baru-baru ini bukanlah petunjuk kekuatan ekonomi negara.
Sebaliknya, menurutnya, ia menandakan kelembapan yang semakin ketara dalam peredaran tunai dan aktiviti ekonomi rakyat.
“OPR turun bukan tanda ekonomi kita kuat, tapi sebenarnya makin lemah.
“Sekali baca macam berita baik. Tapi kalau kita faham betul-betul, bila Bank Negara turunkan OPR, itu petanda ekonomi sedang perlahan. Maksudnya tidak banyak duit berputar, orang tidak banyak belanja, bisnes pun banyak yang ‘slow’,” katanya dalam satu hantaran Facebook dan turut disiarkan Harakahdaily.

Mahfuz bagaimanapun menegaskan bahawa PAS gagal membezakan antara “penyakit” dan “ubat” dalam isu ekonomi apabila menyalahkan penurunan OPR sebagai beban kepada rakyat.
Sedangkan katanya, penurunan OPR adalah langkah untuk merawat ekonomi yang perlahan dan meringankan beban rakyat, khususnya mereka yang berhutang.
"Apabila OPR diturunkan, kadar faedah pinjaman perumahan, kenderaan dan perniagaan turut menurun. Ini secara langsung mengurangkan beban rakyat yang sedang berhutang – termasuk golongan M40 dan B40 yang terkesan dengan kos sara hidup.
"Apabila OPR turun, ansuran pinjaman rumah, kereta, dan perniagaan jadi lebih murah,” kata Mahfuz.
Katanya lagi, penurunan OPR bertujuan merangsang ekonomi dengan menggalakkan aktiviti pelaburan dan perbelanjaan.
"Perniagaan kecil dan sederhana dapat pinjaman lebih murah, menjana lebih banyak pekerjaan dan menyokong pertumbuhan ekonomi rakyat. Ini langkah membantu rakyat, bukannya membebankan rakyat.
"Apakah PAS mahu Malaysia duduk diam dan tidak berusaha menarik pelaburan langsung asing (FDI)?
"Kerajaan Madani adalah kerajaan yang bekerja, sepatutnya PAS/PN menjadi pembangkang yang membina tetapi sebaliknya hanya bercakap dan menyalak," tegas Mahfuz.
