Malaysia sebuah negara miskin yang memerlukan pelaburan asing untuk merangsang pertumbuhan dalam kalangan syarikat domestik, kata bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli.
Sambil mengkritik pihak yang menentang perbincangan ekonomi berkaitan pasaran, ahli parlimen Pandan itu menjelaskan bahawa modal asing membolehkan firma tempatan mendapatkan pembiayaan pada kadar yang lebih berpatutan.
"Ini cerita-cerita pasaran, kalau orang luar tanya apa pasaran-pasaran... Sibuk sangat pasal pasaran, eh Malaysia ni negara miskinlah tak ada duit.
"Kita perlukan duit asing, duit asing itulah yang masuk ke dalam pasaran kita ada dibeli bon, itu membolehkan syarikat-syarikat kita berhutang pada kadar yang rendah, ataupun dia beli ekuiti.

"Maksudnya dia beli saham semua ni kan, daripada duit yang datang itu lah dia menjadi suntikan modal kepada syarikat kita untuk berkembang dan masuk sektor ekonomi yang baru lah," katanya dalam episod terbaharu podcastnya "Yang Berhenti Menteri" malam tadi.
Rafizi juga mempertahankan kedudukan kewangan kerajaan sekarang, dengan mendakwa ia paling kuat yang pernah dicapai negara apabila diambil kira semua faktor.
Dia membandingkan situasi semasa dengan ketika pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak pada tahun 2015, berkata inflasi melonjak tinggi, ringgit jatuh merudum dan pertumbuhan ekonomi merosot.
Perkara sama, katanya, turut berlaku pada tahun 2022.

Bekas timbalan presiden PKR itu turut mengkritik pihak yang mendakwa ekonomi negara kini dalam keadaan teruk, sambil menegaskan bahawa dasar-dasar yang diperkenalkan bertujuan membaik pulih struktur pasaran.
"Memang kita tengah bergelut. Kita mewarisi ekonomi yang banyak masalah," akuinya.
Bagaimanapun, Rafizi menjelaskan tidak semua cabaran kewangan negara yang telah berjaya diselesaikan.
Sebaliknya, dia menggambarkan sebuah kerajaan yang sedang melaksanakan langkah pemulihan untuk mencapai kestabilan kewangan yang kukuh.
Undi dengan ilmu
Apabila ditanya mengenai pilihan raya umum akan datang dan siapa yang patut dipilih, Rafizi menyeru orang ramai agar membuat keputusan dengan bijak.
"Kali ini saya akan kata undi tu rahsia, kau pilih siapa-siapa yang kau suka, tetapi buat penilaian itu sebagai orang yang berilmu sedikit," katanya.
Rafizi menjangkakan kedua-dua pihak – kerajaan dan pembangkang – akan berdepan pelbagai cabaran dalam dua tahun mendatang menjelang Pilihan Raya Umum ke-16.
Ia medan yang terbuka, katanya.

Namun, Rafizi berkata dia bimbang sekiranya pembangkang berjaya menawan semula Putrajaya, kerana menurutnya, tanda-tanda positif kesan daripada dasar-dasar pemulihan sudah mula kelihatan.
Menurutnya, rakyat Malaysia masih menaruh kepercayaan terhadap kemampuan pentadbiran Pakatan Harapan yang lebih unggul.
Bagaimanapun, katanya tiada kerajaan boleh terlalu selesa atau mengambil mudah sentimen rakyat.
Podcast Rafizi dilancarkan tidak lama selepas dia meletak jawatan sebagai menteri ekonomi, berikutan kekalahannya pada pemilihan PKR yang menyaksikan Nurul Izzah Anwar merampas jawatan timbalan presiden daripadanya.
Sebelum hari pengundian, Rafizi menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan menteri dan menjadi “ahli parlimen biasa” jika gagal mempertahankan jawatannya dalam parti.
