Desakan untuk menggantung bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli serta lapan lagi ahli parlimen berhubung tuntutan mereka agar satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat pelantikan badan kehakiman kini semakin mendapat sokongan.
Selepas 19 ketua cabang dari Johor tampil menyatakan sokongan sebelum ini, kini 11 ketua cabang PKR dari Kedah pula menyertai gesaan sama.
Kesemua 11 ketua cabang itu dilaporkan media tempatan mengeluarkan kenyataan bersama dengan menuduh Rafizi dan lapan ahli parlimen berkenaan telah melanggar disiplin parti.
Mereka mendakwa kumpulan tersebut telah melanggar Kod Etika Ahli PKR di bawah Fasal 10.1 dan 10.2 Perlembagaan parti, khususnya kewajipan untuk menjaga reputasi parti, mematuhi keputusan parti, serta mengelak daripada melakukan tindakan sabotaj dalaman.
“Kami menyokong penuh desakan akar umbi PKR supaya keahlian sembilan Ahli Parlimen berkenaan digantung serta-merta serta mendesak Jawatankuasa Disiplin Parti memulakan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya tanpa bertangguh.
"Kami juga mengulangi komitmen untuk terus berdiri teguh bersama presiden parti (Anwar Ibrahim) dan kepimpinan PKR dalam meneruskan agenda reformasi dan memperkukuh institusi-institusi negara,” kata mereka.
Kenyataan bersama itu ditandatangani oleh ketua cabang Sik (Habib Ahmad Muhaiyuddin), Jerai (S Poobalan), Padang Terap (Mohd Tahar Hussin), Langkawi (Ismail Wasi Ahmad Shafawi) dan Kubang Pasu (Azizi Azizan).
Turut tersenarai ketua cabang Kuala Kedah (Shakir Sheik Lukman), Baling (Chandar M Subramaniam), Pendang (Halim Khomiza), Jerlun (Mohamad Rudzi Samsudin), Kulim Bandar Baharu (Yeo Keng Chuan), dan Pokok Sena (Mohd Altab Pa Ibrahim).
Menurut kenyataan itu, tindakan sembilan ahli parlimen terbabit tidak mencerminkan solidariti parti malah dilihat sebagai satu cabaran kepada kuasa Presiden dan struktur kepimpinan.
"Kami berpandangan saluran dalaman parti seperti Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) wujud khusus untuk membincangkan isu-isu dasar serta kebimbangan berkaitan pentadbiran kerajaan.
“Sebarang tindakan luar saluran bukan sahaja melanggar disiplin organisasi tetapi turut memberi ruang kepada eksploitasi politik oleh musuh-musuh parti yang mahu melihat PKR berpecah.
"Sebagaimana termaktub dalam Kod Tataetika Anggota Parti, tindakan seperti ini jelas bertentangan dengan Perkara 10.1 dan 10.2 Perlembagaan Parti. PKR dibina atas asas perjuangan, disiplin dan solidariti. Tiada siapa pun harus bertindak melebihi parti.
"Mana-mana tindakan individu yang menjejaskan kesepaduan dan kepercayaan rakyat terhadap parti wajib ditangani dengan segera dan tegas," kata kenyataan itu lagi.
Ketua-ketua cabang itu turut menyeru semua ahli PKR – terutamanya di Kedah – agar bertenang, tidak terpengaruh dengan agenda mengelirukan, dan terus menyokong kepimpinan Anwar dalam memperjuangkan agenda reformasi untuk rakyat.
Selain menyeru penubuhan RCI, Rafizi dan lapan ahli parlimen tersebut turut mendesak agar sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) diberikan mandat untuk menilai proses pelantikan kehakiman.
Mereka turut menggesa agar PSSC bagi reformasi institusi menyiasat isu itu dan memanggil Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memberi keterangan.
Lapan ahli parlimen yang menyertai Rafizi dalam desakan tersebut ialah Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Rodziah Ismail (Ampang), Wong Chen (Subang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Syed Ibrahim Syed Noh (Ledang), Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan S Kesavan (Sungai Siput).
Rafizi turut membuat rayuan agar Parlimen bersatu mempertahankan maruah institusi negara dan telah menghantar surat kepada semua ahli parlimen agar menyokong penubuhan RCI.
