Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemuda Amanah: Tolak sekutu Trump 'lelaki alfa' jadi duta AS ke M'sia
Diterbitkan:  Jul 13, 2025 2:16 PM
Dikemaskini: 6:16 AM

Pemuda Amanah menggesa Putrajaya menolak pencalonan pengulas konservatif Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia yang baru, dengan mendakwa pelantikannya akan membuka ruang kepada kemasukan ideologi yang bertentangan dengan dasar dan nilai Malaysia.

Tanpa berselindung menyatakan bantahannya terhadap Adams, Pengerusi Biro Antarabangsa Pemuda Amanah, Mus’ab Muzahar menyifatkan pencalonan itu sebagai satu “penghinaan” terhadap maruah dan dasar luar Malaysia.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia menjunjung kedaulatan, keamanan serantau serta solidariti dengan golongan tertindas, khususnya rakyat Palestin.

“Nick Adams bukan diplomat, bukan negarawan. Beliau hanyalah seorang propagandis ekstrem kanan, tokoh Trumpis tegar, serta penyokong lantang rejim Zionis Israel.

"Retoriknya di media sosial penuh kebencian, perkauman, dan sentimen Islamofobia, jelas jauh menyimpang dari semangat hubungan dua hala yang matang.

"Membenarkan beliau ke Malaysia adalah membuka pintu kepada agenda toksik dan politik kebencian Amerika,” kata Mus’ab dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, pelantikan itu wajar ditolak “tanpa perlu sebarang justifikasi”, dengan menekankan bahawa kedaulatan Malaysia memberi hak untuk menentukan siapa yang layak mewakili mana-mana negara asing di sini.

"Ini bukan soal peribadi, ini soal prinsip dan maruah negara.

"Malaysia bukan medan percubaan untuk boneka politik Amerika yang gagal di negaranya sendiri. Kita menuntut diplomasi yang membawa nilai keadilan, bukan suara propaganda yang memecah-belahkan dunia.

"Penolakan terhadap Nick Adams bukan ancaman terhadap hubungan Malaysia-Amerika, sebaliknya satu mesej bahawa Malaysia berprinsip, bermaruah dan tidak tunduk kepada permainan geopolitik Amerika,” katanya.

‘Alpha Male’

Pada 11 Julai lalu, Trump mengumumkan Nick Adams – seorang pempengaruh keturunan Australia-Amerika, penulis serta individu yang menggelarkan dirinya “Alpha Male” – akan dilantik sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia yang baharu.

The New York Times, dalam laporannya mengenai pencalonan itu, menggambarkan Adams, 40, sebagai “penyokong tegar” Trump yang telah membina pengikut konservatif dalam talian.

Secara dalam talian, Adams dikenali melalui hantaran media sosial yang mempromosikan imej peribadinya berdasarkan “simbol maskuliniti stereotaip” seperti makan stik dan sering mengunjungi Hooters – rangkaian restoran terkenal dengan pelayan wanita berpakaian seksi.

Adams juga mempunyai rekod kenyataan Islamofobia dalam komen-komen politiknya, termasuk mengecam kononnya usaha mengajar Islam di sekolah serta mempertikaikan kenyataan mendiang Paus Francis yang menyeru umat Kristian Yunani agar mengasihi umat Islam.

Jika pencalonan Adams disahkan oleh Senat, dia akan menggantikan Edgard Kagan – seorang diplomat kerjaya yang dilantik oleh bekas Presiden Joe Biden pada Mei 2023.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS