Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh membidas Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng ekoran membantah gesaan agar bekas perdana menteri Najib Razak dibenarkan menjalani baki hukuman penjaara secara tahanan di rumah.
Akmal mengingatkan Lim bahawa arahan itu adalah titah diraja yang dikeluarkan ketika Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menjadi Yang di-Pertuan Agong.
“Kepada Lim, siapa kamu mahu menafikan titah Yang di-Pertuan Agong?” soalnya di Facebook.
Akmal membangkitkan Perkara 42(1) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kuasa kepada Agong untuk memberi pengampunan, menunda hukuman dan meringankan hukuman serta Perkara 42(2), berhubung kuasa Agong untuk meremit, menggantung atau meringankan hukuman yang telah dijatuhkan mahkamah.
“Inilah jadinya jika nak jadi pemimpin malah diangkat menjadi ahli Parlimen, tetapi tidak faham Perlembagaan atau sengaja buat-buat tidak faham,” kata Akmal lagi.
Najib kini sedang menjalani hukuman penjara selepas disabitkan untuk kesalahan rasuah dalam kes SRC International.
Tahun lalu, pada hari terakhir Sultan Abdullah sebagai Agong, baginda dilaporkan telah mengeluarkan satu titah tambahan yang membenarkan Najib menjalani tahanan di rumah.
Ia selepas keputusan Lembaga Pengampunan yang mengurangkan tempoh hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, serta mengurangkan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Titah tersebut menjadi subjek pertikaian undang-undang berpanjangan selepas Najib memfailkan permohonan di mahkamah untuk mendesak kerajaan melaksanakan arahan tersebut.
Pada Rabu lalu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan dilaporkan berkata bahawa Jabatan Peguam Negara tidak mempertikai kewujudan titah adendum tersebut, namun mempertikai cara Najib mengemukakan bukti baru itu di mahkamah.
Susulan itu, Umno sekali lagi meminta kerajaan supaya melaksanakan tahanan rumah terhadap Najib.
Semalam, Lim berkata semua sabitan jenayah perlu dihormati dan dilaksanakan tanpa pilih kasih.
Menurut ahli Parlimen DAP itu, permintaan Umno bukan sahaja mencalar prinsip keadilan, bahkan mengundang tanggapan bahawa wujud layanan khas untuk tokoh politik berpengaruh.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim pula berkata dia menyerahkan perkara itu kepada mahkamah untuk diputuskan.
