Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Saya turut berarak bagi pertahan kebebasan kehakiman'
Diterbitkan:  Jul 14, 2025 3:27 PM
Dikemaskini: 7:53 AM

Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, memberitahu dia turut turun ke himpunan anjuran Badan Peguam Malaysia petang ini kerana hak berhimpun secara aman bukan sahaja dijamin perlembagaan, malah didukung Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Nurul Izzah berkata, dalam semangat reformasi dan keadilan yang menjadi asas perjuangan PKR, kerajaan perlu menambah baik struktur sedia ada supaya lebih lebih telus dan bertanggungjawab.

"Saya turut bersama-sama Badan Peguam Malaysia berarak bagi mempertahankan kebebasan badan kehakiman.

"Hak untuk berhimpun secara aman dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dan didukung oleh Perdana Menteri," katanya dalam kenyataan sejurus membuat kemunculan bersama para peguam dan aktivis di Putrajaya hari ini.

Menurut bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu lagi, negara ini mempunyai tiga cabang utama iaitu kehakiman, eksekutif dan perundangan dengan setiap satu saling menyemak serta mengimbangi antara satu sama lain.

Langkah itu, katanya, adalah supaya tiada satu pihak pun yang bebas daripada pertanggungjawaban.

"Badan kehakiman yang bebas sangat penting untuk menghalang penyalahgunaan kuasa oleh kerajaan, jemaah menteri dan pihak eksekutif.

"Begitu juga mahkamah boleh menegur parlimen jika undang-undang yang diperkenalkan bersifat menindas atau bercanggah dengan perlembagaan.

"Maka, perkara paling musatahak dalam menjamin keadilan adalah memastikan tiada campur tangan daripada mana-mana pihak, sama ada dari dalam atau luar badan kehakiman," katanya lagi.

Mahu dakwaan disiasat telus

Kehadiran Nurul Izzah pada himpunan itu mencuri perhatian ramai kerana bantahan para peguam dan aktivis itu ditujukan terhadap kerajaan pimpinan bapanya.

Ia melibatkan kontroversi pelantikan hakim ke jawatan tinggi institusi itu termasuk Ketua Hakim Negara.

Ia dipertikaikan bukan saja dalam kalangan pembangkang malah di blok kerajaan sendiri.

Nurul Izzah yang hadir berbaju kurung ungu dilihat berbual-bual dan malah bergambar dengan peserta demonstrasi yang memegang sepanduk bertulis "Walk the talk, judicial independence" (kata dikota, kebebasan kehakiman).

Barisan peguam hari ini berarak dari Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri yang terletak kira-kira 2.5km antara satu sama lain bagi menyerahkan memorandum empat tuntutan.

Demonstrasi anjuran Badan Peguam Malaysia itu menuntut:

  • Pengisian kekosongan jawatan kehakiman tertinggi.

  • Pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini.

  • Menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman.

  • Menangani kekosongan kehakiman secara menyeluruh.

Mengulas lanjut, Nurul Izzah berkata sesiapa yang dilantik sebagai hakim tertinggi negara mestilah bukan sahaja berkelayakan, tetapi juga memiliki tahap integriti moral terbaik dalam menjalankan amanah tersebut.

Selain itu dia turut menggesa supaya siasatan dijalankan terhadap dakwaan wujud campur tangan dalam sistem kehakiman.

"Dakwaan ini perlu disiasat dengan telus untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap institusi kehakiman.

"Siasatan boleh dimulakan mengikut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan dengan menubuhkan tribunal bebas yang terdiri daripada sekurang-kurangnya lima orang hakim kanan," katanya lagi.

Jelasnya, langkah tersebut akan membantu memperkukuh kepercayaan umum terhadap sistem dan institusi negara ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS