Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran menyatakan sokongan terhadap perhimpunan anjuran Badan Peguam Malaysia yang berlangsung hari ini di Putrajaya, namun mengingatkan apa yang disifatkannya sebagai cubaan memesongkan fakta sejarah berhubung pelantikan kehakiman.
Dalam satu kenyataan, Yuneswaran berkata dia menyokong penuh hak untuk berhimpun secara aman, sambil memaklumkan dia sendiri pernah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012.
“Saya menyokong sepenuhnya hak untuk berhimpun secara aman, termasuklah perarakan hari ini oleh ahli-ahli Badan Peguam Malaysia dari Istana Kehakiman di Putrajaya ke Pejabat Perdana Menteri (PMO).
“Saya sendiri pernah didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman dan amat gembira apabila Mahkamah Persekutuan pada awal bulan ini memutuskan bahawa Seksyen 9(5) PAA adalah tidak berperlembagaan," katanya.
Bagaimanapun, Yuneswaran menegur apa yang dia sifatkan sebagai “naratif liar” daripada tokoh pembangkang dan aktivis, terutamanya berhubung pelantikan kehakiman.
Dia merujuk secara khusus kepada Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya, yang baru-baru ini menggesa kerajaan menggubal pindaan Perlembagaan bagi menghapuskan pengaruh eksekutif dalam proses pelantikan kehakiman, serta menyifatkan keadaan semasa sebagai “skandal kehakiman terbesar dalam sejarah”.

“Pertama sekali, perdana menteri sendiri telah mengumumkan pada April bahawa akan ada kajian semula terhadap Akta Pelantikan Kehakiman, yang bertujuan meningkatkan ketelusan dan kebebasan badan kehakiman.
“Kedua, adalah satu penyelewengan fakta untuk mendakwa bahawa ini adalah skandal kehakiman terbesar dalam sejarah negara kita,” katanya.
Dia merujuk kepada beberapa krisis kehakiman terdahulu di bawah kerajaan lalu, termasuk pemecatan Ketua Hakim Negara ketika itu, Salleh Abas, pada tahun 1988 dan penggantungan lima hakim Mahkamah Agung.
“Mungkin pihak pembangkang dan sekutunya perlu diingatkan bahawa Ketua Hakim kini telah mencapai umur persaraan – satu situasi yang sangat berbeza dengan penggantungan dan pemecatan Ketua Hakim Negara, Salleh Abas, dari jawatannya,” kata ahli parlimen PKR itu.
Dia turut menyebut skandal tahun 2007 melibatkan klip video peguam VK Lingam yang didakwa mengatur pelantikan kehakiman, serta penggantungan Hakim Mahkamah Rayuan, Hamid Sultan Abu Backer pada 2021 selepas membuat dakwaan wujud campur tangan dalam badan kehakiman.
“Kali terakhir peguam mengadakan perarakan seperti ini adalah pada 17 Jun 2022 untuk membantah pengumuman SPRM mengenai siasatan ke atas Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
“Tiada satu pun daripada insiden tersebut berlaku ketika PKR dan Pakatan Harapan berada dalam kerajaan.
“Mungkin sebab itu ada pihak yang cuba ‘cuci’ sejarah lama dan menggambarkan situasi sekarang secara berlebihan?” dakwanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang berdepan tekanan supaya meletak jawatan berikutan dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman mengadakan pertemuan secara terbuka dengan Ahli Parlimen PH bagi menjelaskan pelbagai kontroversi berkaitan pelantikan jawatan tertinggi badan kehakiman.
