Kerajaan terus digesa untuk menggunakan hak kedaulatannya bagi menolak individu pro-Israel, Nick Adams jika namanya dicalonkan sebagai duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia yang baru.
Dalam satu kenyataan bersama, sejumlah 20 pertubuhan pro-Palestin membangkitkan kenyataan dan pandangan merendahkan wanita yang pernah dibuat Adams, yang menurut mereka boleh menjejaskan reputasi dan keharmonian negara.
“Kenyataannya sebelum ini berkenaan kaum, agama dan hubungan antarabangsa berisiko menjejaskan hubungan dua hala yang kuat antara Malaysia dan AS, serta menyebabkan pergeseran yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk kita.
"Misalnya, dia pernah bermegah apabila menyebabkan seorang wanita pekerja kedai hanya kerana memakai pin ‘Free Palestine’ pada bajunya.
“Dia ada pandangan yang misoginis dan bermegah yang dia suka ke sebuah rangkaian restoran, dengan pekerja yang memakai pakaian menjolok mata.
“Malaysia sekian lama berpegang pada prinsip saling menghormati dan diplomasi yang membina. Langkah menerima seorang duta yang memiliki rekod extremisme dan pandangan yang memecah-belah boleh menjejaskan reputasi Malaysia sebagai negara yang aman dan terangkum, dan mengganggu hubungan positif antara dua negara,” kata mereka.
Antara pertubuhan yang menandatangani kenyataan tersebut adalah BDS Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Viva Palestina Malaysia, Muslim Care Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, MyCare, Ikram, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia.
‘Lelaki alfa’
Mereka merujuk Artikel 4 Konvensyen Geneva, yang menyatakan persetujuan rasmi negara penerima diperlukan sebelum mana-mana negara menghantar calon duta mereka.
Mengulas lanjut, mereka berkata Malaysia seharusnya menerima duta AS yang “mencerminkan profesionalisme, sensitivi budaya, serta komitmen untuk memupuk hubungan antarabangsa yang kukuh”.
Pada 11 Julai lalu, Presiden AS Donald Trump mencalonkan Adams - seorang pempengaruh keturunan Australia-Amerika, penulis serta individu yang menggelarkan dirinya sebagai “Alpha Male” - sebagai duta AS ke Malaysia yang baru.
Lelaki berusia 40 tahun itu akan menggantikan Edgard Kagan, iaitu diplomat yang dilantik bekas presiden Joe Biden pada Mei 2023.
Adams dikenali melalui hantaran media sosial yang mempromosikan imej peribadinya berdasarkan “simbol maskuliniti stereotaip”, selain membuat kenyataan bernada Islamofobia. Dia juga seorang penyokong Zionisme.
