Seorang pemimpin kanan Umno menyifatkan perarakan Badan Peguam Malaysia yang berlangsung dari hadapan Istana Kehakiman ke Pejabat Perdana Menteri semalam tidak lebih daripada sebuah drama.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Mohd Puad Zarkashi turut membidas tindakan Nurul Izzah Anwar yang turut serta dalam himpunan itu.
Di mata Mohd Puad, tindakan Timbalan Presiden PKR itu adalah drama memperbodohkan rakyat.
"Sepatutnya Badan Peguam dan Rafizi (Ramli) menuntut RCI (Suruhanjaya Siasatan Diraja) lebih komprehensif.
"Jangan fokus isu lambat lantik Ketua Hakim Negara sahaja. Siasat juga dakwaan Tan Sri Abdul Rahman Sebli tentang amalan perbicaraan tidak adil seperti yang berlaku kepada Najib Razak.
"Katanya Tommy Thomas menyertai perarakan itu. Tetapi pernahkah Bar Council berarak apabila Tommy Thomas mendedahkan dalam buku memoirnya bahawa perlantikan Tun Maimun (Tengku Maimum Tuan Mat) itu sendiri penuh kontroversi.
"Sekali lagi Nurul Izzah berdrama. Dia membodohkan rakyat. Lagi baik dia beritahu di perarakan itu bahawa dia membantah tindakan ayahnya. Tapi ayahnya berdegil. Oleh itu dia akan letak jawatan Timbalan Presiden PKR," kata Mohd Puad dalam satu hantaran di Facebooknya.
Semalam, kira-kira 600 orang termasuk peguam berarak sejauh kira-kira 2.5km bagi menyerahkan memorandum empat tuntutan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Demonstrasi anjuran Badan Peguam Malaysia itu menuntut:
Pengisian kekosongan jawatan kehakiman tertinggi.
Pendedahan minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) baru-baru ini.
Menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan campur tangan kehakiman.
Menangani kekosongan kehakiman secara menyeluruh.
Nurul Izzah turut menyertai perarakan itu sebagai seorang warganegara yang prihatin, sambil menjelaskan bahawa kehadirannya dalam demonstrasi berkenaan bagi menuntut kebebasan badan kehakiman didorong oleh pendiriannya yang seiring dalam isu tersebut.
Mohd Puad berkata, dia meragui perarakan yang diadakan Badan Peguam itu kerana ia bukan kali pertama mereka berarak dalam memperjuangkan isu perundangan.
Dakwa ahli politik terbabit badan itu merupakan sebuah NGO yang berpihak kepada parti tertentu apabila dilihat bersikap memilih dalam memperjuangkan isu perundangan dan kehakiman.
Kata Mohd Puad, berarak dan menjerit sambil berjalan tidak sesuai dengan imej pengamal undang undang.
"Adalah lebih bermanfaat jika (Badan) Peguam mengadakan dialog dengan kerajaan. Atau berjumpa dengan ahli parlimen supaya mereka bahas isu ini di parlimen," katanya lagi.
