Gabungan Rakyat Sabah (GRS) komited untuk mengehadkan tempoh pentadbiran ketua menteri kepada dua penggal berturut-turut dalam manifesto parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Timbalan Setiausaha Agung GRS Armizan Mohd Ali berkata cadangan itu diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri Sabah pada Dis 2023 dan kini dalam proses penggubalan rang undang-undang (RUU).
Armizan berkata pelaksanaan cadangan itu memerlukan pindaan kepada perlembagaan negeri yang perlu mendapat kelulusan dua per tiga ahli dewan, justeru GRS perlu kemenangan besar pada PRN akan datang bagi memastikan ia dapat direalisasikan.
“Langkah mengehadkan tempoh pentadbiran ini penting bagi menjamin pembaharuan kepimpinan dan mengelakkan penumpuan kuasa secara berpanjangan.
“GRS percaya ini antara reformasi politik paling progresif di Sabah,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata GRS terbukti menjadi pelopor reformasi apabila lebih awal menyuarakan komitmen terhadap had penggal ketua menteri menjelang PRN Sabah.
Armizan berkata manifesto GRS itu akan berpaksikan kepada empat teras utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United yang mencerminkan komitmen gabungan itu dalam memperkukuh pembangunan negeri, menjamin kesejahteraan rakyat serta memperkasa tadbir urus yang berintegriti.
Dia menjelaskan keempat-empat teras itu dipersetujui dalam mesyuarat pertama pasukan khas penyediaan manifesto yang dipengerusikannya, dengan keanggotaan lapan parti komponen GRS.
- Bernama
