Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Miti terima surat tuntutan berhubung dakwaan ciplak idea kreatif
Diterbitkan:  Jul 18, 2025 12:58 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) menerima surat tuntutan undang-undang daripada sebuah syarikat pemasaran yang menuntut pampasan dan pengiktirafan atas rekaan Pavilion Malaysia di Ekspo Dunia Osaka, Jepun.

Syarikat terbabit, Current Media Group (CMG), telah mengarahkan peguam mereka untuk menghantar surat tuntutan tersebut secara rasmi pada 17 Julai.

Dalam satu kenyataan hari ini, CMG berkata mereka mengambil tindakan undang-undang selepas usaha untuk berbincang gagal, walaupun kementerian itu diberikan masa mencukupi untuk bertindak secara beretika.

CMG mendakwa bahawa pihak kementerian tidak memberikan maklum balas yang mencukupi selepas pengasas CMG, Fey Ilyas, memuat naik hantaran di media sosial pada 25 April yang mendakwa Pavilion Malaysia mempunyai “persamaan ketara” dengan cadangan rekaan yang pernah dikemukakan oleh CMG kepada MITI, jauh sebelum proses tender rasmi bermula.

“Hantaran Fey itu menjadi perhatian seluruh negara, lalu kementerian mengeluarkan kenyataan pada 26 April bahawa siasatan dalaman sedang dijalankan.

“Namun, sejak kenyataan itu dikeluarkan, CMG tidak menerima sebarang permintaan untuk dokumen, temu bual, atau penjelasan, malah tiada sebarang perkembangan substantif berkaitan siasatan dikemukakan oleh pihak kementerian,” dakwa CMG.

Tambah CMG lagi, sekiranya kementerian itu gagal memberikan maklum balas yang memuaskan dalam tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang setelah surat tuntutan diserahkan, mereka akan menggunakan segala saluran undang-undang yang ada mengikut perundangan Malaysia.

"CMG masih terbuka untuk selesaikan isu ini melalui proses mediasi yang konstruktif — asalkan ia dilakukan dengan iktikad yang jujur, menghargai usaha kreatif, dan berlandaskan syarat yang adil," katanya.

Sebelum ini, Fey memuat naik hantaran di Instagram mendakwa syarikatnya telah membangunkan “konsep, tema, naratif dan arahan seni bina” untuk Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka, yang bermula pada 13 April lalu.

Dia turut mendakwa walaupun syarikatnya telah menyumbang kepada pameran Malaysia di pentas antarabangsa, CMG tidak menerima sebarang bayaran mahupun pengiktirafan terhadap hasil kerja mereka.

Fey juga mendakwa syarikatnya dinasihatkan supaya berdiam diri kerana ia boleh menjejaskan peluang mereka untuk memperoleh projek pada masa hadapan jika bersuara.

Sebagai maklum balas, pihak kementerian telah mengumumkan siasatan terhadap dakwaan tersebut dan menyatakan bahawa mereka mengambil serius perkara itu serta sedang mengumpulkan semua fakta berkaitan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS