Paling Popular
Terkini

Gabungan sayap pemuda parti politik, pertubuhan masyarakat sivil dan kumpulan pelajar menyerahkan memorandum membantah pencalonan Nick Adams sebagai duta AS ke Malaysia hari ini.

Memorandum itu – yang diserahkan oleh wakil penunjuk perasaan kepada seorang pegawai kedutaan di Kuala Lumpur – mem perincikan bantahan mereka terhadap pemilihan Adams.

Sebelum itu, kira-kira 50 individu berkumpul jauh dari kedutaan untuk menyuarakan bantahan mereka dengan pengawasan polis.

Naib Ketua Pemuda DAP Iskandar Fareez dalam ucapannya berkata jawatan duta AS ke Malaysia perlu diserahkan kepada seorang diplomat yang mampu mengendalikan tugas berkaitan.

"Penempatan ini bukan percutian berbayar untuk mana-mana orang yang setia (kepada Presiden AS), begitu juga untuk mana-mana Tom, Dick atau Nick.

"Jawatan ini adalah untuk seorang diplomat, terutama dalam dunia yang sangat tidak menentu yang kita hidup hari ini.

“Kita memerlukan seorang diplomat mantap yang memahami budaya dan nuansa Malaysia," tambahnya.

Sambil menyuarakan keraguan sama ada Adams akan terbuka untuk mengadakan perbincangan atau sesi dialog, Iskandar menegaskan penolakan pihaknya adalah berdasarkan pendirian personaliti terbabit dalam isu-isu penting.

Bercakap kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum itu, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Izuan Kasim, berkata pegawai kedutaan AS menyatakan komitmen mereka untuk membangkitkan kebimbangan yang dizahirkan kepada Washington.

“Pencalonan Adams adalah hak Trump, tetapi di bawah Konvensyen Vienna, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat mempunyai kuasa untuk menolak mana-mana calon diplomatik asing,” tambahnya.

Malah dia menegaskan bahawa penolakan itu boleh dibuat walaupun tanpa sebab.

Menurut salinan memorandum yang dikongsikan dengan media, "retorik memecahbelahkan" Adams disebut sebagai salah satu alasan pakatan itu membantah pencalonannya.

Mereka juga memberi amaran bahawa kenyataan Adams terhadap Islam menyinggung perasaan umat Islam di seluruh dunia dan berisiko menjejaskan persepsi orang ramai terhadap hubungan dua hala antara Malaysia dan AS.

Gabungan itu juga merujuk kepada kenyataan Adams yang kelihatan "menolak kesaksamaan jantina dan kepekaan sosial," menegaskan bahawa sikap sedemikian bertentangan dengan nilai inklusif Malaysia dan budaya saling menghormati.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS