Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua parti blok bukan kerajaan bagi membincangkan cadangan penubuhan sebuah barisan rentas parti di kalangan parti pembangkang.
Ketua parti yang hadir pertemuan itu termasuklah pemangku presiden Muda Amira Aisya dan Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan.
Bagaimanapun, wakil daripada PAS tidak disenaraikan sebagai antara yang menyertai perjumpaan berkenaan, walaupun parti itu merupakan antara komponen utama dalam PN.
Menurut Muhyiddin yang juga presiden Bersatu, cadangan penubuhan barisan rentas parti itu bertujuan untuk memperkukuhkan peranan semak dan imbang parti-parti pembangkang di dalam dan di luar Parlimen.
"Semua yang hadir telah memberikan maklum balas yang amat positif terhadap cadangan ini.
"InsyaAllah, saya akan membawa pandangan-pandangan yang diutarakan dalam pertemuan ini dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN akan datang," katanya dalam kenyataan media.
Pemimpin pembangkang lain yang hadir ialah Tmbalan Presiden Bersatu dan Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, Presiden Gerakan Dominic Lau, Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) Punithan Paramsiven, Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, dan Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra)Ibrahim Ali.
Turut hadir Ketua Belia Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Sathiah Sudakaran, Presiden Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) Zamani Ibrahim, residen Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai) P Ramasamy, dan Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waytha Moorthy.
Dua hari lalu, Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali berkata parti itu telah memberi Muhyiddin mandat untuk menerajui usaha membentuk barisan pembangkang dengan parti di luar blok kerajaan.
Perjumpaaan itu juga hadir selepas PAS baru-baru ini meningatkan Bersatu untuk berbincang dengan parti dalam gabungan PN sebelum sesuatu dasar mahu diumumkan.
Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin pada 14 Julai lalu berkata antara isu dasar yang penting dan tidak dirundingkan dulu dengan mereka ialah calon perdana menteri daripada PN.
Katanya keputusan sebegitu ada yang diumumkan oleh Muhyiddin tanpa berunding terlebih dulu dengan PAS.
