Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Serbu pesta gay: Henti cetus panik moral - NGO
Diterbitkan:  Jul 19, 2025 2:12 PM
Dikemaskini: 6:12 AM

Serbuan terhadap satu acara kesedaran kesihatan di Kota Bharu bulan lalu disifatkan sebagai tindakan berbahaya yang mengancam kepercayaan awam terhadap sistem penjagaan kesihatan negara.

Ketua Pegawai Eksekutif NGO dasar kesihatan Galen Centre, Azrul Khalib mengkritik insiden 17 Jun itu, apabila peserta acara yang dianjurkan bersama dengan sebuah klinik kerajaan dituduh menyertai “parti gay”, diserbu oleh pihak berkuasa, dan dilaporkan diancam dengan pendakwaan.

“Tindakan ini melanggar maruah individu dan berisiko merosakkan kepercayaan orang ramai terhadap sistem kesihatan awam Malaysia,” kata Azrul.

Dia berkata Galen Centre menyokong penuh gesaan daripada kumpulan Justice for Sisters (JFS) dan Majlis AIDS Malaysia (MAC) supaya pihak berkuasa membetulkan fakta dan mengelakkan insiden serupa daripada berulang.

“Salah maklumat dan respons sebegini mempunyai kesan nyata terhadap individu dan komuniti. Ia boleh mencetuskan peningkatan tindakan yang memudaratkan dan diskriminasi, bahkan mendorong kepada keganasan,” tambahnya.

Semalam, JFS mengetuai gabungan 31 NGO dan individu yang membidas kenyataan polis mengenai acara tersebut, menegaskan bahawa ia sebenarnya adalah program kesedaran HIV dan jangkauan kesihatan yang sah dan disokong oleh Kementerian Kesihatan.

Majlis AIDS Malaysia turut mengesahkan sesi jangkauan lapangan telah dijalankan di bawah model Perkhidmatan HIV Berbeza untuk Populasi Utama (DHSKP) Kementerian Kesihatan, dengan lebih 70 peserta daripada golongan berisiko tinggi.

Azrul menekankan aktiviti jangkauan melibatkan kumpulan terpinggir adalah penting demi mencapai matlamat kesihatan awam negara, dan sebarang gangguan atau panik moral boleh mencipta halangan yang berbahaya terhadap akses kepada rawatan.

“Insiden seperti ini mewujudkan halangan bagi mereka yang memerlukan perkhidmatan kesihatan, dan boleh mengakibatkan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

“Kami juga sedar akan realiti pahit bahawa pelaku penyalahgunaan terhadap individu dalam komuniti ini sering bertindak tanpa hukuman. Ketakutan penghalang utama kepada penjagaan kesihatan.

“Golongan yang terpinggir tidak sepatutnya takut untuk mengakses perkhidmatan kesihatan, khususnya perkhidmatan kerajaan dan mereka harus berasa yakin dan selamat semasa melakukannya,” tambah beliau.

Stigma

Azrul menegaskan mengaitkan perilaku mencari rawatan kesihatan dengan jenayah hanya akan memburukkan stigma dan mengasingkan lagi kumpulan rentan.

“Salah maklumat perlu ditangani dengan tegas. Penggunaan panik moral untuk mengawal orientasi seksual atau identiti jantina adalah tidak boleh diterima. Mencari perkhidmatan kesihatan, bantuan dan maklumat bukanlah satu jenayah.

“Menyampaikan rawatan dalam suasana penuh ketakutan atau rasa malu hanya menambahkan lagi penderitaan,” katanya.

Azrul turut menyeru agar pihak berkuasa bertindak dengan penuh belas ihsan dan hormat, tanpa mengira kepercayaan peribadi masing-masing.

“Setiap individu berhak mendapat layanan yang sulit, tidak dihukum, bermaruah dan berperikemanusiaan dalam semua interaksi dengan sistem kesihatan mahupun pihak polis.”

Menurut MAC, acara tersebut mendapat sokongan daripada pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kota Jembal, yang membantu menyediakan maklumat berkaitan kesihatan seksual dan HIV, kondom, serta ujian secara sukarela untuk menggalakkan amalan seksual yang lebih selamat.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS