Ketua Hakim Negara yang baru, Wan Ahmad Farid Wan Salleh, bersama Presiden Mahkamah Rayuan Abu Bakar Jais dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Azizah Nawawi, dilihat cenderung mengambil pendekatan kehakiman yang lebih konservatif.
Pemerhatian ini dibuat berdasarkan penelitian terhadap beberapa keputusan penting yang pernah mereka kendalikan.
Pada Mei 2023, ketika bertugas di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Wan Ahmad Farid memutuskan bahawa penukaran agama secara sepihak ke atas tiga anak kepada seorang wanita beragama Hindu, Loh Siew Hong, oleh bekas suaminya adalah sah.
Dalam penghakimannya, dia menyatakan tiada bukti menunjukkan anak-anak tersebut telah berhenti menganut agama Islam semasa dalam jagaan Loh, dan tiada bukti mereka kembali kepada agama Hindu.
Dia merujuk afidavit Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (Maips), Mohd Nazim Mohd Noor, yang menunjukkan bahawa sehingga Februari 2022, anak-anak itu masih mengamalkan ajaran Islam, termasuk menunaikan solat Subuh, dan salah seorang daripada mereka menyatakan hasrat menjadi peguam syarie.

Wan Ahmad Farid turut menekankan bahawa Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi telah memutuskan bahawa apabila soal agama atau didikan agama anak menjadi isu, maka menjadi tanggungjawab mahkamah untuk menjaga kebajikan anak berdasarkan semua keadaan kes tersebut.
“Berdasarkan semua keadaan kes ini, tiada bukti di hadapan saya yang menunjukkan bahawa ketiga-tiga anak tersebut tidak gembira tinggal bersama pemohon (Loh). Walaupun ini isu lain, ia berkait rapat dengan kes ini.
“Tiada bukti bahawa ketiga-tiga anak ini telah berhenti menganut agama Islam ketika berada dalam jagaan pemohon.
“Oleh itu, kebajikan anak-anak tersebut, seperti yang dimaksudkan dalam kes Indira Gandhi, menuntut agar status quo dikekalkan,” putus Wan Ahmad Farid.
Namun, panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara ketika itu, Tengku Maimun Tuan Mat, memutuskan bahawa anak-anak tersebut kekal sebagai bukan Islam, dan mengulangi keputusan tahun 2018 bahawa penukaran agama seorang anak kepada Islam memerlukan persetujuan kedua-dua ibu bapa.
Sementara itu, Abu Bakar Jais merupakan salah seorang panel hakim yang menolak rayuan seorang wanita berusia 37 tahun yang ingin membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengembalikannya sebagai seorang Muslim.

Menurut laporan Bernama, dia menyatakan bahawa tiada peruntukan undang-undang membenarkan mahkamah sivil menyimpang daripada keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Syariah dalam kes sama.
“Kes ini tidak boleh dibicarakan semula oleh mahkamah sivil.
“Adalah tidak wajar dan tidak adil terhadap sistem pentadbiran kehakiman serta kuasa Mahkamah Syariah, malah tidak dapat dipertahankan jika bidang kuasa Mahkamah Syariah diketepikan dan diserahkan kepada mahkamah sivil,” tambahnya.
Dalam kes lain berkaitan fatwa oleh Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang mengisytiharkan Sisters in Islam (SIS) sebagai menyeleweng, Abu Bakar memutuskan bahawa sesebuah syarikat boleh terikat kepada fatwa kerana ia dikendalikan oleh individu.
Dia mengemukakan penghakiman yang berbeza dalam kes rayuan SIS terhadap fatwa itu, dengan menyatakan bahawa NGO itu aktif mengulas isu-isu berkaitan Islam dan perkara berkaitan fatwa terletak dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
“Tiada kesilapan dalam keputusan bahawa Mahkamah Syariah mempunyai bidang kuasa terhadap fatwa tersebut kerana ia berkait dengan ‘pengawalan penyebaran ajaran dalam kalangan umat Islam’ dan ‘penentuan hukum dan doktrin Islam’,” katanya, dipetik oleh New Straits Times.
Dia menambah bahawa persoalan bidang kuasa itu sahaja sudah mencukupi untuk menolak rayuan berkenaan.

Sementara itu, Azizah Nawawi pula menyokong keputusan majoriti Mahkamah Rayuan pada September 2023 yang mengenakan semula larangan terhadap buku bertajuk "Gay is OK! A Christian Perspective."
Sementara itu, Azizah telah memutuskan untuk mengenakan semula larangan ke atas buku bertajuk "Gay is OK! A Christian Perspective" pada September 2023.
Dia menyokong keputusan 2-1 Mahkamah Rayuan yang membenarkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2022 yang membenarkan semakan kehakiman oleh penulis buku itu untuk membatalkan larangan tersebut.
Hakim Wong Kian Kheong, membacakan keputusan majoriti, menyatakan bahawa Menteri Dalam Negeri telah mematuhi prosedur sewajarnya semasa menguatkuasakan larangan di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, dan menteri berpuas hati bahawa kandungan buku itu berisiko menjejaskan ketenteraman awam.
Dalam satu kes berhubung penyahwartaan Hutan Simpan Bukit Cherakah pada Januari 2024, Azizah yang mempngerusikan panel hakim menolak rayuan oleh Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) dan Persatuan Komuniti Hutan Shah Alam (SACF) untuk mencabar keputusan kerajaan negeri Selangor.
Mewakili ahli panel Wong dan Azimah Omar, Azizah memutuskan bahawa permohonan semakan kehakiman itu difailkan di luar tempoh kerana keputusan dasar tersebut telah dibuat pada 20 November 2000.
Menurutnya kedua-dua kumpulan tersebut gagal memfailkan cabaran dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan.
Namun, Mahkamah Persekutuan kemudiannya bersetuju mendengar rayuan NGO tersebut, dengan menyatakan bahawa persoalan undang-undang dalam kes itu mempunyai kepentingan awam.
Bagaimanapun, pada April tahun ini, kumpulan tersebut mempersoalkan kelewatan Mahkamah Rayuan mengeluarkan alasan penghakiman, yang menurut mereka menjejaskan kes mereka di Mahkamah Persekutuan walaupun telah berlalu lebih setahun.
